KETUA jurulatih skuad Malayan Tigress, Soleen Al Zoubi mengakui gembira melihat peningkatan yang ditunjukkan pemain-pemain negara selepas mereka mengharungi cabaran liga selama semusim.
Sebelum ini, jumlah permainan kompetitif menjadi masalah utama skuad wanita kebangsaan namun perkara itu sudah menjadi sejarah selepas Liga Wanita Nasional (LWN) diperkenalkan bagi memberikan minit permainan buat para pemain.
Soleen memanggil 24 pemain merangkumi pemain lama dan baharu untuk kem latihan pusat sebelum ke Emiriah Arab Bersatu untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi dan Laos.
“Saya sangat teruja dengan kem latihan kali ini dengan melihat keadaan pemain yang semakin baik selepas bermain dalam Liga Wanita Nasional dan mereka sudah mendapat minit permainan serta tekanan perlawanan yang cukup banyak.
“Pemain-pemain pasukan Sabah juga mendapat pengalaman berguna di Liga Juara-Juara Wanita AFC dan mereka juga menunjukkan peningkatan dari segi teknikal dan ini membuatkan jangkaan saya sedikit tinggi kali ini berbanding sebelumnya,” katanya ketika sesi latihan rasmi di Stadium Merdeka.
Soleen turut mengakui pemilihan pemain-pemain muda dalam skuad kali ini adalah sebagai persiapan jangka panjang untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Asia Wanita tahun hadapan selain persiapan untuk membentuk skuad terbaik ke Sukan SEA 2027 yang dianjurkan Malaysia.
“Pemain-pemain muda yang dipanggil sememangnya layak dan mereka telah membuktikan kemampuan masing-masing di peringkat liga.
“Mereka juga bakal dipersiapkan untuk mengganti pemain-pemain senior sebagai persiapan membentuk skuad ke Sukan Sea 2027,” jelasnya.