PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Manaiky mengakui sangat kecewa dengan persembahan yang dipamerkan rata-rata pasangan beregu lelaki kebangsaan terutama gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Tambahnya, persembahan yang dipamerkan Aaron-Wooi Yik pada perlawanan menentang Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto adalah sangat buruk dan mengecewakan.
“Kita sangat kecewa persembahan Aaron semalam, sudah kita tengok video, harus bermain seperti apa, tapi apa yang dibuat di lapangan itu sangat bertentangan, dengan suatu emosi, panik, seperti mereka itu merasa mereka lebih baik dari Fajar dan Rian.
“Secara keseluruhan persembahan dua pasangan ini sangat teruk, dari standard bermain dari top 5 dan top 15, malah mereka tidak boleh, jadi ini yang sangat kecewalah,” kata Rexy dalam sesi temubual bersama media pada Ahad.
Enggan menoleh ke belakang lagi, Rexy menegaskan perlu menjadikan Indonesia sebagai kiblat untuk mereka mengikut mentaliti pasangan Indonesia yang tidak sedikit pun menunjukkan sikap putus asa.
Dalam pada itu, dia turut bersetuju dengan ulasan Datuk Razif Sidek sebelum ini yang mengatakan perlunya sparring dengan pemain senior agar dapat memperkemas taktikal dan corak permainan.
Namun secara keseluruhan, Rexy menganggap aspek mental adalah paling ketara terhadap badi kekalahan pasangan kebangsaan di peringkat tertinggi dalam dua kejohanan di bumi sendiri iaitu Terbuka Malaysia 2022 dan Malaysia Masters 2022 yang dilangsungkan di Axiata Arena.