PATRON Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Fahmi Fadzil optimis kepimpinan baharu persatuan itu mampu mengatasi masalah tunggakan gaji Kuala Lumpur City FC dan memastikan perkara ini tidak akan berulang sekali lagi.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menyatakan dia yakin sekiranya kewangan kelab itu diuruskan dengan baik, KL City mampu bersaing di lima tangga teratas liga dan mungkin mampu mencabar kejuaraan.
“Tahniah kepada pengursan baharu KLFA dan saya percaya mereka akan dapat bawa bukan sahaja persatuan tetapi bola sepak Kuala Lumpur ke satu tahap lebih membanggakan.
“Ianya sudah pasti datang dengan cabaran cukup besar kerana kita tahu ada ramai yang bercakap tentang isu tunggakan gaji dan beberapa perkara lain yang akan saya serahkan kepada presiden dan pasukannya untuk meneliti perkara ini.
“Sejujurnya sekiranya diuruskan dengan baik saya percaya kelab ini wajar berada dalam ‘Top 5 liga tapi kita akan berusaha serta ambil pengajaran dari apa yang telah berlaku dan pengurusan akan bekerja keras,” katanya ketika majlis makan malam bersama pengurusan KLFA dan pemain KL City.
Fahmi juga menjelaskan pihak pengurusan baharu akan mengambil keputusan kewangan yang penting bagi memastikan setiap pemain dapat beraksi baik dengan minda yang lebih tenang.
“Isu kewangan ini kita lihat dia sedikit ‘complicated’ tetapi saya percaya dengan ketokohan kepimpinan yang kita ada sekarang ini kita akan dapat uruskan dengan lebih baik dan yang paling penting kita harus ambil pendekatan keputusan kewangan yang akan membawa kebaikan bukan hanya keuntungan untuk KLFA tetapi juga kelab itu sendiri.
“Niat kita cuma satu untuk memastikan KLFA berada pada kedudukan terutamanya kewangan yang lebih stabil dan mapan di mana beberapa perkara perlu kita teliti dan harapan saya akan dapat berikan ‘ease of mind’ di kalangan pemain supaya mereka boleh beraksi dengan baik,” jelasnya.