CHICO Aura Dwi Wardoyo mengejutkan perseorangan pilihan ke-13 dunia, Angus Ng Ka Long apabila merangkul Trofi Malaysia Masters 2022 dengan kejayaan straight set 22-20 21-15.

Lebih manis lagi, ia merupakan kejuaraan sulung buat Chico dalam kategori atas Super 300 sepanjang penglibatannya dalam dunia badminton.

“Saya cuba buat lebih fokus di mata-mata kritikal. Jurulatih hanya beritahu just relaks. Saya cuba buat main dari awal, main sebaik-baiknya.

“Ya, dream come true. Satu kebanggaan buat saya, semoga boleh lebih percaya diri dalam kejohanan seterusnya. Saya juga ingin lebih dalam kejuaraan selepas ini,” kata Chico.

Sementara itu, Angus Ng Ka Long berpendapat kejayaannya mara sehingga ke peringkat akhir kejohanan Malaysia Masters 2022 adalah disebabkan sentuhan jurulatih dari Malaysia, Wong Tat Meng.

“Dia selalu berikan frasa positif, dia selalu berikan dorongan kepada kami di dalam dan luar gelanggang, juga dia adalah rakyat Malaysia, jadi dia mahir dengan selok belok badminton Malaysia jadi kita tak perlu risau,” ujar Angus.

Bagaimanapun, ketua jurulatih perseorangan Hong Kong, Wong Tat Meng enggan menerima bahawa kemaraan Angus adalah magis yang dicetuskannya sebaliknya menyifatkan ianya adalah kerana pemain Hong Kong tersebut mempercayai kebolehan dan kemampuan yang ada pada dirinya sendiri.

“Saya tidak mahu menerima pujian tersebut. Dia telah berlatih dengan pasukan. Dia juga adalah seorang pemain berkelas dunia. Cuma tahun lepas ada yang dia kecewalah.

“Saya cuma beritahu apa kekuatan dia, apa kekurangannya supaya dia dapat balik keyakinan diri sendiri, itu sahaja dan nasib baik dia percaya saya,” jelas Wong Tat Meng kepada media selepas perlawanan.