SKUAD Harimau Malaya berkemungkinan besar bakal menerima cabaran daripada Bangladesh, salah satu daripada dua pasukan yang menghangatkan aksi persahabatan November ini.
Pasukan kendalian Pau Marti Vicente dijadualkan bertemu India dalam perlawanan persahabatan pertama Fifa Tier 1 bulan depan, sekaligus menjadikan tanda tanya mengenai lawan Harimau Malaya bagi aksi persahabatan kedua.
Bangladesh yang kini berada di kedudukan 186 dunia boleh menjadi bayangan pasukan yang akan bertemu Malaysia kelak, selain daripada empat negara rantau Asia Selatan yang turut berpotensi.
Negara-negara lain termasuklah Maldives (163), Nepal (176), Bhutan (184), Pakistan (197) dan Sri Lanka (200) yang turut disenaraikan. Namun begitu, keputusan muktamad dalam memilih lawan terbaik bertemu skuad kebangsaan masih terletak di tangan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Untuk rekod musim ini, Harimau Malaya berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan menjuarai Pestabola Merdeka 2024 selepas menumpaskan Lubnan 1-0 dalam perlawanan akhir.
Namun, rentak kemenangan itu gagal dikekalkan apabila Malaysia tumbang dengan keputusan 4-0 di tangan New Zealand, pasukan di ranking ke-95 dunia dalam aksi persahabatan di Auckland.
Skuad negara kini sedang mempersiapkan diri untuk berdepan India dalam satu perlawanan persahabatan Fifa Tier 1, dan satu lagi perlawanan persahabatan yang belum dimuktamadkan.