PEMAIN tengah berprofil tinggi yang pernah beraksi di bawah Jose Mourinho di Manchester United, Paul Pogba berkongsi secara terbuka mengenai hubungan kompleks mereka sepanjang tempoh dua tahun dari 2016 hingga 2018.

Pogba membandingkan hubungan mereka seperti pasangan kekasih yang sering ‘putus dan kembali bersama’ namun penuh dengan penghormatan mendalam di sebalik ketegangan yang wujud.

“Hubungan kami seperti pasangan kekasih, berpisah dan berbaik semula sepanjang masa. Ia bermula dengan baik kerana dia adalah salah satu sebab saya kembali ke Manchester United,” kata Pogba, merujuk kepada keputusan pentingnya untuk kembali ke kelab tersebut pada tahun 2016 selepas meninggalkan Juventus.

Insiden di mana Paul Pogba dan Mourinho sering tidak sependapat dalam padang. FOTO:Tribuna

Namun, hubungan yang pada awalnya mesra bertukar menjadi sukar dengan pelbagai insiden di mana mereka sering tidak sependapat. Salah satu perbalahan yang paling menonjol ialah pada tahun 2018 ketika Mourinho tidak berpuas hati dengan aktiviti media sosial Pogba semasa dia tidak menyertai perlawanan. 

Mourinho juga mendakwa Pogba berubah selepas memenangi Piala Dunia 2018 bersama Perancis, kembali ke kelab dengan sikap yang berbeza.

Walaupun demikian, Pogba menegaskan bahawa hubungan mereka penuh dengan penghormatan dan dia masih berharap untuk bertemu Mourinho suatu hari nanti. 

“Jika saya bertemu dia esok, pasti akan ada pelukan besar. Namun, suatu hari nanti kami perlu duduk bersama dan membincangkannya.”

Mereka memenangi Liga Europa bersama pada 2017. FOTO: Gettyimages

Pogba, yang kini kembali bersama Juventus selepas meninggalkan Manchester United secara percuma pada 2022, turut berdepan cabaran besar dengan penggantungan empat tahun akibat doping.

Walau bagaimanapun, hukuman tersebut dikurangkan kepada 18 bulan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan.

Bagi masa depannya dalam bola sepak, Pogba menyatakan keinginannya untuk kembali ke Juventus dan tidak kisah mengambil potongan gaji demi peluang beraksi semula bersama kelab yang pernah melonjakkan namanya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik di Eropah.

Pemain tengah itu mahu kembali ke Juventus. FOTO: Gettyimages

Dengan perjalanan karier yang penuh dengan pusingan mendebarkan, Pogba tetap optimis untuk masa depannya walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk kecederaan dan penggantungan. Kini, peminat-peminat di seluruh dunia menantikan kebangkitan semula bintang Perancis ini di pentas bola sepak.