AKSI menentang PDRM FC dalam aksi Liga Super 2024-25 boleh dianggap pemanas badan atau medan ujian terbaik buat Selangor FC sebelum berhadapan dua gergasi bola sepak Asia dalam tempoh lima hari.
Skuad Gergasi Merah bakal bertemu Sang Saka Biru pada Sabtu dan akan menerima kunjungan Jeonbuk Hyundai Motors pada 23 Oktober dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sebelum berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 27 Oktober dalam misi menambat semula hati para penyokong.
Penyokong Selangor secara terang mengkritik aksi yang dipamerkan pasukan kendalian Nidzam Jamil yang disifatkan kurang meyakinkan meskipun berjaya menewaskan Dynamic Herb Cebu dalam aksi ACL2.
Di atas kertas, segala kelebihan memihak kepada Selangor namun bukan mudah untuk menyaingi PDRM FC terutama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang apabila anak-anak buah P.Maniam sering memberikan aksi terbaik di laman sendiri.
Nidzam Jamil yang menerima dua pembantu baharu sudah tentu mahu menepis segala kritikan yang diterima dan barisan terbaik dijangka akan diturunkan bagi meraih kemenangan bagi terus menekan JDT di takhta liga.
Semua pemain juga dalam keadaan yang baik tanpa sebarang kecederaan dengan Alex Agyarkwa dilihat sudah mula mendapatkan minit permainan bersama pasukan Selangor 2 di Piala MFL.
Penyerang Jordan, Ali Olwan yang menjaringkan dua gol untuk skuad kebangsaannya ketika kelayakan Piala Dunia sudah tentu mahu meneruskan rentak cemerlang itu di kelab dan akan dibantu dua lagi rakan senegara, Noor Al Rawabdeh dan Mohamad Abualnadi.
Selangor tidak mempunyai pilihan lain kecuali meraih tiga mata bagi memastikan momentum kemenangan dapat dibawa untuk dua perlawanan terbesar kelab musim ini di dua kejohanan yang berbeza.
PDRM FC juga dilihat kini berada pada tahap terbaik dengan menduduki tangga kelima Liga Super dan mereka sudah pasti mahu meneruskan kecemerlangan ini sekaligus menambah tekanan buat Selangor.
Penyerang PDRM yang juga bekas pemain Selangor, Ifedayo Olusegun mengakui pertembungan ini bakal menjadi satu aksi yang menarik dengan kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan dan sebagai penyerang dia mahu menjaringkan gol.