PELUMBA Pertamina Enduro VR46 Racing Team Bezzecchi dikejarkan ke hospital selepas terlibat dalam perlanggaran dahsyat dengan pelumba Aprillia, Maverick Vinales dalam perlumbaan Grand Prix MotoGP Australia di Litar Phillip Island, pada Sabtu.

Insiden itu berlaku di selekoh pertama litar yang terkenal sebagai Doohan Corner, salah satu selekoh paling mencabar dalam kalendar MotoGP.

Ketika kedua-dua pelumba sedang memecut laju, Bezzecchi dilaporkan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang motosikal Vinales.

Insiden perlanggaran berlaku di selekoh pertama litar yang terkenal sebagai Doohan Corner

Akibat daripada perlanggaran itu, kedua-dua pelumba terpelanting dari motosikal mereka dan jatuh ke bahagian batu di sisi trek.

“Satu insiden malang telah berlaku menjelang penghujung perlumbaan. Syukur, Maverick telah disahkan cergas, dan tiada patah tulang dikesan pada Bezzecchi.

“Namun dia telah dibawa ke hospital di Melbourne untuk pemeriksaan lanjut. Insiden ini masih dalam siasatan oleh pihak Stewards,” jelas kenyataan media MotoGP.

Vinales bernasib baik apabila mampu bangun dengan segera selepas kemalangan tersebut dan hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian siku.

Bezzecchi, yang lebih terkesan dengan impak perlanggaran, terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum diterbangkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Walaupun begitu, laporan awal memberikan sedikit kelegaan apabila tiada patah tulang atau kecederaan serius yang ditemui pada pelumba Itali itu.