JURULATIH Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, meluahkan kekecewaannya selepas skuad bimbingannya terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 di tangan Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan sengit di Stadium Darul Aman, pada sabtu malam.

Gol tunggal yang terhasil daripada kelekaan Terengganu ketika situasi ‘set pieces’ pada penghujung babak pertama menjadi titik penentu dalam perlawanan yang sepatutnya seimbang.

Menurutnya, para pemain telah berusaha keras, namun kegagalan mengawal situasi pada minit akhir separuh masa pertama menyebabkan pasukan melepaskan gol yang menjadi penentu perlawanan.

“Secara keseluruhan, pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik malam ini. Namun, kelekaan dari segi set piece di penghujung babak pertama menyebabkan kami bolos,” katanya.

Pemain Kedah, Sony Norde memberikan bantuan kepada pemain lawan yang terjatuh, Nurillo Tukhtasinov

Badrul turut menyatakan masalah utama pasukan sejak dia mengambil alih adalah dalam aspek serangan, di mana Terengganu gagal memanfaatkan peluang yang dicipta untuk menjaringkan gol, walaupun menguasai permainan.

“Saya ingatkan pemain-pemain jangan ambil mudah dan waspada apa ancaman malam ini dan tahniah untuk Kedah walaupun kita berjaya mengawal permainan malam ini tetapi penyudah kita tidak dapat menjaringkan gol,” jelas Badrul.

Badrul juga menekankan kepentingan sokongan daripada penyokong dan mengharapkan diberi peluang untuk meraih kemenangan dalam perlawanan akan datang.

“Saya juga memerlukan sokongan daripada penyokong sebenarnya, dua perlawanan satu seri satu kalah, saya nak diberi peluang supaya saya dapat kemenangan yang pertama untuk perlawanan yang akan datang,” tambahnya.

Selain itu, Badrul memberitahu kekangan dalam tempoh masa latihan kerana enam pemain Terengganu baharu sahaja kembali daripada tugas kebangsaan, dengan hanya sehari penuh untuk latihan bersama sebelum perlawanan ini.

“Dalam pasukan Terengganu, pemain yang mewakili pasukan negara ada dalam 6 orang, saya dapat full training yang betul adalah beberapa hari sebelum perlawanan.

“Mereka baru sampai ke sini dan sebab itu saya perlu mengambil beberapa masa untuk menyesuaikan diri dengan pemain-pemain.”

Safawi Rasid (kanan) berjaya mengawal bola dengan baik

Badrul berharap pasukan dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat dan fokus untuk memastikan peluang yang dicipta dapat diterjemahkan menjadi gol dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

“Untuk perlawanan yang akan datang, saya harap pemain-pemain bila dapat peluang mesti diterjemahkan dengan jaringan itulah yang saya akan fokuskan untuk perlawanan akan datang.”

Terengganu FC perlu segera bangkit untuk mendapatkan momentum kemenangan yang berterusan, dan Badrul optimis bahawa mereka akan lebih mantap dalam aksi seterusnya.