PESERTA muda berusia 16 tahun dari Johor, Farish Luzman Mohamad Farid berjaya mencipta nama sebagai juara kategori eFootball 24 Mobile dalam Malaysia Esports League 2024 (MEL24).

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di ESI Hub, Spacerubix, Puchong, Farish menewaskan Mohd Hafiz Norhadi dari Melaka dengan keputusan 3-1, sekaligus membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi kejuaraan.

“Saya sangat gembira dan berbangga dengan diri sendiri kerana walaupun baru berusia 16 tahun, saya dapat menjadi juara MEL24. Ia satu pencapaian yang bermakna.

Farish Luzman Mohamad Farid, remaja berusia 16 tahun dari Johor, muncul juara kategori eFootball 24 Mobile setelah menewaskan Mohd Hafiz Norhadi dari Melaka dengan keputusan penuh 3-1 dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan trofi kemenangan.

“Permainan tadi berjalan lancar. Meskipun kami kalah pada hari pertama, kami bangkit semula dari bahagian bawah dan terus berusaha sehingga ke final untuk memenangi kejuaraan,” ujarnya, merujuk kepada usahanya bangkit dari pusingan lower bracket selepas kekalahan awal.

Pengalaman beraksi di pentas besar turut menjadi detik yang tidak akan dilupakan Farish memandangkan MEL24 adalah peluang terbaik dan tekanan untuk bermain di pentas utama cukup mencabar.

“Kejohanan ini adalah kali pertama saya berpeluang bermain di pentas yang besar. Sudah pasti ada tekanan, tetapi saya yakin dengan kemampuan diri sendiri dan berjaya mengekalkan fokus.

“Cabaran paling besar adalah apabila saya tewas dalam perlawanan pertama menentang Melaka. Namun, saya tidak berputus asa. Kami meneliti semula corak permainan lawan, melakukan latihan intensif, dan akhirnya berjaya mara ke perlawanan akhir.” tambah Farish.

Dengan kemenangan ini, Farish Luzman membuka satu lagi lembaran baharu dalam karier eSports dan berharap dapat terus berkembang di masa hadapan.

Bakal menduduki SPM tahun depan, Farish merancang untuk mengimbangi kerjayanya dalam eFootball dengan pelajaran.

“Mungkin tahun depan perlu kurangkan sikit dengan game sebab mahukan keseimbangan pelajaran dengan eFootball,” katanya sambil menceritakan rutin harian yang penuh dengan tuisyen dan latihan permainan.

Berkat sokongan keluarga, Farish kini semakin yakin dengan potensinya dalam dunia eSports.

“Lepas mewakili Johor, keluarga slowly support dan nampaklah kekuatan saya dalam bidang ini,” jelasnya.