PENGURUSAN Selangor FC membuat tindakan pantas dengan merehatkan serta merta pegawai kontroversi yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak media dan tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti kelab di atas padang atau stadium.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menurut laporan Harian Metro dan dia berharap kejadian terbabit tidak akan berulang bagi mengelak imej skuad Gergasi Merah tercalar.

Terdahulu, kecoh di media sosial selepas FLASH SUKAN memuat naik kenyataan media berkaitan tindakan tidak profesional seorang pegawai Selangor FC yang memarahi media di khalayak ramai.

Tindakan itu dipercayai kerana tidak berpuas hati apabila terdapat media yang merakam perjumpaan pengendali Selangor FC Nidzam Jamil bersama penyokong pasukan itu sebaik tamat perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu.

“Saya sudah arahkan pegawai terbabit direhatkan. Saya minta maaf kepada media terhadap apa yang berlaku. Pengurusan sudah berbincang dan akan pastikan pegawai terbabit tidak berada di padang atau stadium lagi,” katanya.

Ketika kejadian, pihak media terkejut dengan tindakan pegawai itu yang mahu melihat kesemua telefon bimbit milik media bagi memastikan tidak ada gambar yang berjaya dirakam meskipun perkara itu berlaku di tempat lawan dan ianya turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC dan beberapa pegawai lain.

Ekoran dari tindakan itu, pegawai itu telah mengeluarkan kata-kata kesat yang kemudiannya ditegur oleh pihak media sebagai tanda protes atas apa yang dilakukan sebelum dia datang meminta maaf tetapi ianya sudah dianggap terlambat kerana melampaui batas dan etika bekerja.

Kami di FLASH SUKAN memuji tindakan pantas yang dilakukan pengurusan Selangor FC dan berharap insiden ini akan menjadi pengajaran buat semua pihak supaya lebih tenang dan tidak menggunakan emosi sebagai jalan penyelesaian.