SKUAD bola sepak wanita kebangsaan sekali lagi terpaksa menanggung kekalahan apabila tewas 0-4 kepada Thailand dalam Kejuaraan Wanita AFF 2022 dalam aksi di Stadium Binan, Filipina sebentar tadi.

Selepas tewas dengan jaringan yang sama kepada Filipina sebelum ini, Malaysia dilihat lebih menekankan strategi bertahan dan kelihatan berjaya menyekat barisan serangan Thailand pada peringkat awal perlawanan.

Namun benteng Malayan Tigress roboh pada minit ke-25 dengan pengalaman jelas memisahkan pemain negara dan juga barisan pemain Thailand yang pernah beraksi di Piala Dunia Wanita sebelum ini.

Tigress melepaskan tiga lagi gol pada babak kedua pada minit ke-55, 74 dan 86 untuk kekalahan kedua berturut-turut dalam kejuaraan ini namun masih kekal di tangga keempat Kumpulan A dengan dua mata.

Ketua Jurulatih, Jacob Joseph berkata lawan mengambil kesempatan apabila para pemainnya keletihan namun memuji skuadnya yang memberikan 100 peratus dalam perlawanan ini.

“Thailand mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol apabila pemain saya mula kepenatan selepas separuh masa pertama. Saya melakukan beberapa pertukaran namun masih tidak dapat mengubah corak permainan.

“Ianya bukan mudah untuk bermain empat perlawanan dalam lapan hari namun saya berbangga kerana para pemain memberikan 100 peratus usaha dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media dalam talian.

Malaysia yang sudah tersingkir dari perebutan tempat ke separuh akhir akan melengkapkan jadual dengan bertemu Australia pada Selasa.