PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio lebih fokus kepada persiapan dan potensi pasukan dan tidak mahu terlalu memikirkan kekuatan Gwangju FC apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi ketiga peringkat liga Zon Timur, Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) di Stadium Yongin Mireu, Republik Korea pada Selasa.
Jurulatih asal Argentina itu menegaskan walaupun sedar ia perlawanan sukar buat JDT tatkala lawan kelihatan memiliki barisan pemain berkualiti namun dia mahu Harimau Selatan lebih fokus dalam perlawanan ini.
“Tidak dinafikan pembabitan kami dalam kancah ACLE tampak konsisten dan kami tahu akan berdepan kesukaran apabila berdepan Gwangju FC namun kami juga ada potensi yang baik untuk memperagakan aksi terbaik.
“Kami tahu intensiti permainan mereka yang jelas mengamalkan corak permainan pantas namun apa yang kami fokuskan adalah persiapan pasukan sendiri kerana itu lebih penting malah kami juga gemar bermain dengan taktikal mengawal bola,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Yongin.
Bidoglio juga menyatakan peluang buat bekas bintang Real Madrid, Jese Rodriguez beraksi dalam perlawanan ini juga cerah memandangkan dia berada dalam keadaan yang baik namun segalanya akan diputuskan menjelang sepak mula.
“Jese Rodriguez berada dalam keadaan yang baik dan akan ada peluang diturunkan dalam kesebelasan utama namun saya ada masa lagi sehingga esok untuk putuskan siapa yang akan diturunkan,” jelasnya.
JDT juga tidak terjejas dengan perubahan venue dari Gwangju ke Yongin kerana menurut Bidoglio, ianya satu lagi gelanggang di tempat lawan dan apa yang penting adalah fokus kepada potensi pasukan.
“Ianya masih gelanggang lawan dan kami tidak kisah bermain di mana-mana stadium kerana apa yang kami utamakan adalah fokus kepada potensi pasukan dan itu lebih penting berbanding memikirkan venue mana yang perlu kami beraksi,” jelasnya.
JDT kini berada di tangga kedua peringkat liga dengan empat mata manakala Gwangju FC pula di tangga teratas dengan enam mata selepas selesai dua perlawanan peringkat elit Asia itu.