MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberitahu pihaknya sedia membantu pemain badminton wanita negara, Ng Qi Xuan yang mengalami kecederaan ketika aksi Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 Sabtu lalu.

Qi Xuan disahkan mengalami kecederaan koyak pada  ACL (anterior cruciate ligament ), MCL (medial collateral ligament), PCL (posterior cruciate ligament), selain kecederaan LCL (lateral collateral ligament) dan sedikit keretakan tulang yang memerlukan kos pembedahan yang perlu ditanggung dianggarkan sekitar RM25,000 hingga RM30,000.

Susulan daripada itu, Hannah telah mengarahkan Institut Sukan Negara (ISN) untuk segera berhubung dengan keluarga Qi Xuan bagi menawarkan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, dijangka bertemu dengan ibu bapa Qi Xuan pada Rabu untuk membincangkan langkah-langkah rawatan dan bantuan yang boleh disalurkan.

“Saya telah membaca berita mengenai kecederaan Qi Xuan, dan saya telah meminta ISN untuk menghubungi keluarga mereka serta menawarkan perkhidmatan yang kita ada untuk membantu. Namun, pemilihan tempat untuk menjalani pembedahan atau rawatan itu adalah keputusan dan hak keluarga,” kata Hannah.

Menurut Hannah, perbincangan sedang dilakukan untuk melihat pilihan terbaik bagi Qi Xuan, termasuk kemungkinan menggunakan hospital kerajaan yang mungkin memerlukan sedikit masa kerana terdapat senarai menunggu untuk pembedahan.

Ng Qi Xuan, yang mengalami kecederaan serius terkehel lutut semasa separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 pada Sabtu lalu.

“Hari ini, pihak ISN akan berjumpa dengan ibu bapa Qi Xuan untuk berbincang lebih lanjut mengenai situasi ini. Namun, apa pun keputusannya, kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan Qi Xuan mendapat rawatan yang diperlukan,” tambah YB Hannah.

Selain itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga menawarkan bantuan dalam proses pemulihan Qi Xuan selepas pembedahan kelak.

Pada Selasa Qi Xuan memohon bantuan daripada orang ramai di media sosialnya kerana kos pembedahannya dianggarkan sekitar RM25,000 hingga RM30,000, namun insurans yang dimilikinya tidak meliputi jenis kecederaan tersebut.