SELANGOR FC berjaya mencipta kejutan apabila meraih kemenangan kedua dalam Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 selepas menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors 2-1 dalam aksi ketiga Kumpulan H di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Dua gol dari Harith Haiqal dan Ali Olwan pada babak pertama sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Selangor dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kejohanan ini.
Meskipun bermain tanpa tiga tonggak utama yang cedera, Selangor dilihat tidak terkesan dengan sering melancarkan serangan demi serangan ke kubu Jeonbuk yang dilihat sedikit sukar bermain dalam cuaca yang panas.
Harith Haiqal yang diberikan kepercayaan sebagai kapten membuktikan kepimpinan melalui tauladan apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-31 untuk gol pertamanya dalam kejohanan kelab Asia.
Gol itu nyata menambah semangat rakan-rakan sepasukan dan berselang dua minit, tonggak Jordan, Ali Olwan membuka akaun jaringannya bersama Selangor untuk gol kedua bagi memberikan permulaan baik buat Gergasi Merah.
Kelebihan dua gol gagal dipertahankan menjelang tamat separuh masa pertama apabila Jeonbuk Hyundai Motors berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Kwon Chang Hoon pada minit ke-40 untuk kedudukan 2-1.
Selangor terus mengasak pada babak kedua dengan Nicola Jambor hampir memberikan gol ketiga tetapi rembatannya terkena palang manakala Ronnie Fernandes terlepas peluang tandukan terbuka di depan gawang.
Kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran untuk menambah sengat di beberapa bahagian dengan Jeonbuk sekali sekala melakukan serangan berbahaya yang hampir menghasilkan gol penyamaan dan mencipta cemas kepada 7,257 penyokong yang hadir.
Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor melonjak ke tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata manakala Jeonbuk terpaksa berpuas hati dengan kekalahan pertama seterusnya turun ketangga kedua.