PASUKAN bola sepak wanita kebangsaan, Malayan Tigress, berjaya mengikat pasukan Arab Saudi dengan keputusan seri 0-0 dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Dubai Police Stadium, UAE pada Rabu.
Perlawanan tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Soleen Al-Zou’bi, menjelang Piala AFF Wanita (AFF Women’s Cup) di Kemboja yang akan berlangsung pada bulan November.
Soleen Al-Zou’bi memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh para pemainnya, walaupun mengakui pasukan sentiasa mahu menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
“Ia adalah perlawanan yang sukar, sudah tentu kami mahu menang, tetapi saya berpuas hati dengan prestasi pemain hari ini. Kami mencuba ramai pemain baharu dan muda dengan barisan yang berbeza berbanding perlawanan sebelumnya,” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa walaupun ada beberapa kesilapan yang perlu diperbaiki, beliau gembira dengan perkembangan pemain muda yang menjadi asas untuk masa depan skuad kebangsaan.
“Mereka menunjukkan semangat juang yang baik serta mentaliti kemenangan. Kami mempunyai beberapa peluang yang baik, tetapi sudah tentu ada perkara yang perlu diperbaiki.”
Selepas perlawanan ini, skuad wanita kebangsaan dijadualkan bertemu Laos pada 26 Oktober di venue yang sama sebagai persiapan seterusnya untuk Piala AFF Wanita.
Soleen berharap pasukannya dapat memberikan prestasi lebih baik dalam perlawanan akan datang, dan menambah bahawa perlawanan menentang Laos, yang juga pasukan Asia Tenggara yang bakal bersaing dalam Piala AFF, adalah pengalaman berharga bagi para pemain.
“Kami akan mengambil perlawanan ini sebagai persiapan yang baik untuk AFF, dan ini juga adalah pengalaman penting untuk pemain-pemain muda,” tambahnya.
Skuad Malayan Tigress kini dalam fasa akhir persiapan dengan harapan untuk memberikan aksi yang cemerlang di Kemboja nanti.