BEKAS pemain pertahanan Arsenal, Bacary Sagna mendedahkan bahawa dia ingin melihat Paul Pogba menyertai Arsenal selepas tempoh penggantungan dopingnya berakhir.

Pogba kini sedang menjalani penggantungan selama empat tahun, namun tempoh itu dikurangkan kepada 18 bulan selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang DHEA pada Ogos lalu.

Pemain tengah Perancis ini dijangka akan kembali beraksi pada Mac 2025 dan dia masih mempunyai kontrak bersama Juventus.

Namun Sagna yang juga bekas pemain antarabangsa Perancis, percaya bahawa Pogba akan menjadi tambahan yang hebat buat Arsenal.

Paul Pogba pernah beraksi bersama Cristiano Ronaldo, ketika menyarung jersi Man United

Menurut Sagna yang menjelaskan perkara itu kepada Paddy Power, jika Pogba beraksi bersama Arsenal, ia adalah satu perkara yang hebat.

“Ia akan menjadi sesuatu yang hebat kerana Pogba mempunyai pengalaman, dia suka bermain dengan pemain muda di sekelilingnya jadi ketika itulah dia paling berkesan.”

Sagna turut merujuk prestasi cemerlang Pogba semasa Piala Dunia 2018, apabila dia beraksi dengan sangat baik bersama rakan sepasukannya. 

“Ketika Piala Dunia 2018, itulah masanya dia paling berkesan kerana dia mempunyai rakan-rakan di sekelilingnya,” kata Sagna.

Pogba yang masih mempunyai kontrak bersama Juventus berharap untuk merebut tempat dalam pasukan itu sebaik sahaja dia kembali.

Sagna juga berpendapat bahawa Pogba sesuai dengan pasukan Arsenal yang muda dan bertenaga.

“Arsenal mempunyai pasukan yang muda dan segar, jadi saya boleh melihat dia bermain dengan baik bersama Arsenal.

“Dia pasti akan mendapat sokongan dan kasih sayang daripada peminat disana,” tambah Sagna.

Pogba, bekas pemain Manchester United, pernah memenangi pelbagai trofi sepanjang kerjayanya dan dianggap sebagai salah seorang pemain tengah terbaik pada kemuncak prestasinya.

Kini, masa depan Pogba selepas penggantungan doping masih belum pasti, namun Sagna jelas melihat potensi Pogba untuk memberi impak besar di Arsenal jika perpindahan itu berlaku.