AKADEMI Badminton Roslin Hashim (RHBA) memperkukuh tapaknya dalam peta badminton negara, apabila melantik Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A’fifullah sebagai Penaung Diraja bagi akadrmi berkenaan.

Beliau bersetuju atas pelantikan tersebut selepas melihat potensi kelab yang dikendalikan oleh bekas pemain nombor satu dunia (Roslin), berjaya menghimpun pemain muda berbakat.

Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A’fifullah bersemangat menaungi RHBA demi menaikkan potensi remaja.

“Keberadaan saya di sini diharapkan dapat membawa akademi ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya juga ingin membantu pemain di bawah naungan akademi ini. Harapan saya adalah untuk melihat mereka mencapai kejayaan yang lebih besar,” kata Raja Saidatul Mardiah pada majlis menandatangani pelantikan itu semalam.

Beliau yg cukup aktif dalam sukan, pernah mrnaungi beberapa kelab sukan lain seperti taekwondo dan permotoran, selain dua kelab badminton sebelum ini.

Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A’fifullah dan Roslin Hashim, menandatangani perjanjian pelantikan penaung RHBA.

Beliau yang juga puteri ke-13 Almarhum Sultan Idris A’fifullah, Sultan Perak ke-33, menjadi wanita pertama menjuarai pertandingan PanGlobal Alex Yoong F1 Driver Search pada 2005.

Malah, Raja Saidatul Mardiah muncul satu-satunya wanita yang menyertai Merdeka Millenium Endurance (MME) di Sepang pada 2009.

Sementara itu, Roslin Hashim menyatakan rasa terharu apabila kerabat diRaja itu sudi menerima tawaran untuk menjadi penaung akademinya.

“Matlamat saya dengan Yang Amat Mulia Engku adalah sama, iaitu untuk membangunkan bakat. Dengan pelantikan ini, saya harap akademi RHBA dapat berkembang dengan baik dan mencapai kejayaan yang lebih jauh,” kata Roslin.

RHBA kini berpangkalan di sebuah pusat sukan di Puncak Alam, mahu menjadi sebuah akademi yang membekalkan pemain sehingga mewakili negara, suatu hari nanti.