PELANTIKAN Rosman Razak sebagai ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan adalah langkah tepat.

Bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim berkata, Rosman berpengalaman luas dan memainkan peranan penting dalam membentuk gandingan pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah pada awal gandingan.

Roslin yakin kemampuan pada Rosman mampu pacu kejayaan di BAM.

Roslin berkata, tugas Rosman tidak semudah itu kerana cabaran utama buat jurulatih terbabit adalah melahirkan gandingan kedua dan ketiga yang setanding dengan Pearly-Thinaah.

“Jurang antara Pearly-Thinaah dan beregu lain terlalu besar, jadi bagaimana Rosman akan mengatasinya? Beliau tentu memerlukan kerjasama daripada jurulatih di bawahnya untuk mencapai matlamat itu,” kata Roslin ketika ditemui pada majlis pengumuman pelantikan Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A’fifullah sebagai Penaung Diraja Akademi Badminton Roslin Hashim (RHBA), semalam.

Sebahagian pelajar yang bernaung di bawah Akademi Badminton Roslin Hashim.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Selasa, mengumumkan Rosman kembali ke pangkuan badan induk badminton negara sebagai ketua jurulatih skuad beregu wanita negara, dengan tugas rasmi bermula pada 5 November ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Sebelum itu, Rosman membimbing beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, dan pernah berkhidmat sebagai jurulatih beregu wanita kebangsaan hingga akhir 2020.

Rexy Mainaky pernah berkerjasama dengan Rosman Razak sebelum kewujudan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Rosman ketika melatih skuad kebangsaan sebelum ini, mengenal pasti keupayaan Thinaah yang beraksi sebagai perseorangan pada 2019.

Dengan kualiti yang dimiliki Thinaah, Rosman menggandingkannya dengan Pearly, yang ketika itu tidak mempunyai pasangan, dan kini mereka berjaya merangkul beberapa gelaran juara serta menempatkan diri dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia.