MASIH diperkatakan mengenai beberapa sukan yang telah digugurkan daripada senarai rasmi Sukan Komanwel 2026 yang akan diadakan di Glasgow, Scotland.

Edisi temasya ke-23 itu dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos 2026, sejurus melibatkan hanya 10 jenis sukan yang bakal dipertandingkan.

Menurut Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) pada Selasa lalu, 10 sukan yang akan dipertandingkan termasuklah olahraga (trek dan padang), bola keranjang 3×3, renang dan berbasikal trek.

Sukan Komanwel 2026 akan diadakan di Glasgow, Scotland. 

Selain itu, terdapat juga sukan angkat berat, boling padang, bola jaring, gimnastik artistik, tinju dan judo.

Jadi jelas bahawa senarai sukan untuk Glasgow 2026 ini kelihatan jauh lebih kecil berbanding di Birmingham 2022 yang telah menampilkan 20 jenis sukan.

Badminton dan terjun yang selama ini menjadi salah satu penyumbang pingat utama buat Malaysia telah digugurkan pada temasya berkenaan, termasuk beberapa sukan lain seperti hoki, kriket, gusti, ping pong, ragbi tujuh, bola tampar pantai, berbasikal gunung, skuasy dan gimnastik berirama.

Hannah Yeoh tegaskan Malaysia tidak akan boikot Komanwel 2026.

Namun begitu, keputusan demikian tidak mematahkan semangat Malaysia untuk terus bersaing di Glasgow, memandangkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sendiri menegaskan bahawa Malaysia tidak akan boikot kempen Komanwel 2026.

Seperti yang dilaporkan FLASH SUKAN sebelum ini, Hannah akur dengan keputusan rasmi pihak tuan rumah kerana itu juga merupakan hak mereka untuk memilih sukan apa yang mereka mahu pertandingkan.

Walaupun kehilangan dua sukan utama telah memberi tamparan hebat buat atlet Malaysia, namun terdapat 10 jenis sukan lain yang perlu diutamakan setakat ini dalam misi memburu pingat di pentas Sukan Komanwel 2026 nanti.

Artikel Berkaitan: Malaysia tidak akan boikot Komanwel Glasgow