MALAYSIA optimis untuk menampilkan pasukan terbaik bagi menghadapi kejohanan Asean Mitsubishi Electric Cup 2024 (Piala AFF) yang akan berlangsung dari 8 Disember hingga 5 Januari 2025.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell yakin Harimau Malaya mempunyai kekuatan pasukan yang baik dan pemain terbaik akan dipilih untuk pemilihan bagi edisi ke-15 Piala tersebut.

“Pertandingan Asean, dalam bentuknya yang sekarang dan sebelum ini, sentiasa menjadi gelaran yang dinantikan, dengan negara-negara bola sepak utama di rantau ini bersaing untuk menjadi juara serantau,” jelasnya ketika menghadiri Klinik Bola SepakMitsubishi Electric.

Walaupun mengakui kelab-kelab Malaysia akan terlibat dalam Liga Juara-Juara Asia Elite dan ACL 2 pada bulan Disember, O’Donell menyifatkan Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 tetap merupakan kejohanan penting di mana setiap pasukan memberikan 100 peratus komitmen.

Tiga bekas pemain Malaysia dari kiri Mahali Jasuli, Mohd Amri Yahyah dan Norshahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) memberikan sokongan kepada klinik bola sepak

Sementara itu, O’Donell memberitahu klinik bola sepak yang dianjurkan ini untuk pemain-pemain muda yang bercita-cita tinggi sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR yang dianjurkan oleh rakan kongsi tajuk, Mitsubishi Electric, bersama-sama dengan Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 Trophy Tour.

Pasukan wanita dari Akademi Shah Alam Rovers dan Kelab Bola Sepak Aurora Kickers mengambil bahagian dalam latihan dan permainan mini menggunakan kaedah “Okada”, dinamakan sempena Takeshi Okada yang terkenal.

Turut hadir di klinik tersebut ialah legenda bola sepak Malaysia, Mohd Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha dan Mahali Jasuli, yang merupakan anggota pasukan yang menjulang trofi pada tahun 2010.

Amri menggesa barisan pemain Harimau Malaya 2024 untuk menunjukkan komitmen bagi menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk membawa pulang trofi berprestij ini.

Kejohanan kali ini menjanjikan saingan sengit di mana Thailand, juara bertahan, akan cuba menambah koleksi trofi mereka.