DENGAN anggaran 200,000 pengunjung dijangka hadir ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas untuk perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia musim ini, pihak SIC sentiasa menekankan keselesaan dan keselamatan pengunjung bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Atas sebab itu, pihak penganjur bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua elemen keselamatan termasuk kawalan trafik berjalan lancar sepanjang tiga hari perlumbaan dari 1 hingga 3 November 2024.

Menerusi sesi taklimat keselamatan yang dilakukan antara SIC dan PDRM, ACP Azman bin Shari’at, Ketua Polis Daerah, IPD KLIA memaklumkan mereka akan diperkuatkan lebih 500 anggota dan mahu pengunjung mematuhi arahan keselematan termasuk laluan sehala yang akan diaktifkan pada hari perlumbaan.

Lebih 500 anggota polis akan mengawal keselamatan dan kelancaran trafik untuk Grand Prix MotoGP Grand Prix Malaysia

Para pengunjung juga dinasihatkan supaya datang awal dan merancang perjalanan serta parkir dengan betul dan pastikan kenderaan di kunci serta tiada barangan berharga ditinggalkan didalam kenderaan.

Untuk mereka yang menghadiri After Rest Fest – konsert unik selepas perlumbaan juga diminta untuk datang lebih awal dan sebanyak 15 ribu tempat letak kereta disediakan untuk pengunjung konsert.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif CEO Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM atas kerjasama baik sepanjang acara MotoGP sebelum ini yang memasuki tahun ke-33 penganjuran dan kali ke-25 di SIC.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif beri jaminan keselesaan pengunjung ke MotoGP Grand Prix Malaysia

Bagi pihak SIC, mereka menyediakan 18 buah bas shuttle percuma yang akan mengelilingi litar untuk membawa pengunjung dengan 80 peratus tiket sudahpun dijual sehingga kini.

Berita baik juga diumumkan kepada peminat MotoGP terutama kanak-kanak apabila had umur telah dinaikkan kepada 7 tahun dan kanak-kanak boleh masuk secara percuma untuk menonton aksi perlumbaan kelas tertinggi dunia itu.

Dalam pada itu pihak SIC juga akan menguatkuasakan seluruh litar sebagai kawasan larangan merokok dan vape yang akan dipantau dan diberikan pengawasan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perlumbaan Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas akan menjadi pusingan kedua terakhir musim ini dan perebutan kejuaraan kelas Moto2 dan MotoGP menambahkan lagi kehangatan namun segala aspek keselamatan telah diambil peduli oleh pihak penganjur.