ROBERTO Mancini, pengendali yang pernah menjadi pengurus berprofil tinggi dan bergaji tertinggi di dunia, kini menerima tamparan hebat apabila dipecat oleh skuad kebangsaan Arab Saudi selepas hanya 14 bulan bertugas.

Keputusan ini dibuat hanya beberapa hari selepas Mancini terlibat dalam pertikaian dengan penyokong selepas pasukannya terikat 0-0 menentang Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Mancini,yang dilantik pada Ogos 2023 dengan kontrak bernilai 443 juta selama empat tahun, gagal menunaikan harapan besar yang disandarkan kepadanya.

Roberto Mancini memberi arahan kepada pemain Arab Saudi, Abdulrahman Ghareeb

Walaupun menyandang gelaran sebagai pengurus bola sepak dengan gaji tertinggi, beliau hanya mencatat tujuh kemenangan daripada 18 perlawanan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Insiden yang menjadi kemuncak ketegangan ini berlaku apabila Mancini dilihat bertegang urat dengan penyokong selepas perlawanan tanpa jaringan menentang Bahrain.

Keputusan untuk memecat Mancini dibuat selepas prestasi hambar ini berlarutan, meskipun beliau pernah membawa kejayaan besar bersama skuad kebangsaan Itali dengan memenangi Euro 2020.

Pemecatan ini menandakan pengakhiran dramatik bagi karier Mancini di Timur Tengah, yang bermula dua minggu selepas beliau melepaskan jawatan sebagai pengurus Itali.