PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin bagi membincangkan pelan pembangunan bola sepak negara.

Menerusi perkongsian di Instagram Hannah pada Khamis, memaklumkan bahawa pertemuan ini memfokuskan perbincangan lebih mendalam mengenai masa depan skuad bola sepak negara.

“RM15 juta khas yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri untuk pasukan Harimau Malaya perlu digunakan dengan sebaiknya bagi membantu pasukan kebangsaan.

“Patik telah mendengar pandangan dan cadangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam perancangan yang telah disediakan oleh FAM dan semua ini akan diteliti bersama oleh KBS Malaysia dan Kementerian Kewangan,” kata Hannah dalam satu hantaran di Instagram.

Menurut Hannah, Tunku Ismail yang memiliki pengalaman luas dalam menaikkan taraf bola sepak melalui JDT, telah berkongsi pandangan dan cadangan mengenai pelan pembangunan yang telah dirangka oleh FAM.

“Pemangku Sultan Johor DYAM Tunku Ismail memiliki pengalaman menaikkan piawaian bola sepak dan saya turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kita yang memberi tumpuan secara peribadi untuk membantu pasukan kebangsaan kita,” tambahnya.

Perbincangan bersama turut melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi meneliti dengan lebih mendalam rancangan pelaburan dan pembangunan bola sepak ini.

 

Terdahulu, Anwar telah mengumumkan dalam Belanjawan 2025 bahawa pasukan bola sepak negara akan menerima peruntukan khas sebanyak RM15 juta daripada kerajaan.

Pengumuman ini disambut baik oleh pelbagai pihak kerana ia dilihat sebagai salah satu usaha serius kerajaan dalam memperbaiki mutu bola sepak negara.

Tindakan ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dan pihak berkepentingan untuk memastikan bola sepak Malaysia terus maju dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.