TONGGAK Sri Pahang FC, Stefano Brundo mengakui tidak sabar untuk kembali beraksi selepas diketepikan sejak September lalu susulan kecederaan.
Pemain kelahiran Argentina itu mengalami kecederaan di kaki kanan sejurus berakhir perlawanan menentang PDRM FC pada 15 September lalu memaksa dia mengharungi proses pemulihan yang agak lama.
Dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh sebulan lagi, Brundo berharap dia mampu untuk kembali cergas seperti sediakala selepas agak lama tidak turun beraksi dan mahu terus bantu pasukan selepas ini.
Apatah lagi, sebelum ini dia sering menjadi pilihan ketua jurulatih, Fandi Ahmad membarisi kesebelasan utama dan berharap masih mampu untuk membuktikan keupayaannya meskipun selepas pulih daripada kecederaan.
Musim ini, dia telah meraih sebanyak empat jaringan dalam pentas Liga Super dan berazam ingin meraih pencapaian lebih baik berbanding musim lalu dengan 10 gol.
“Selepas menentang PDRM FC, saya mengalami kecederaan ketika beraksi dan kaki kanan saya perlukan masa untuk pulih.
“Sudah tentu saya ingin sentiasa bersedia untuk aksi-aksi akan datang dan saya harap dapat kembali beraksi di padang secepat mungkin. Apa pun, saya tetap berterima kasih kepada Fandi Ahmad sebab dalam tempoh dua tahun ini, beliau selalu memilih saya untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Untuk itu, saya mahu terus membuktikan kemampuan saya sebaik sahaja dapat kembali ke padang untuk beraksi”, jelasnya.
Sri Pahang ketika ini berada di kedudukan kesembilan Liga Super dengan 14 mata selepas 12 perlawanan. Perlawanan menentang Kelantan Darul Naim FC akan menyusul pada malam ini di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.