AWANG import PDRM FC, Ifedayo Olusegun tidak memandang rendah akan kemampuan bekas pasukannya, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang terpalit dengan masalah tunggakan gaji.

Menurut pemain kelahiran Nigeria itu kepada FLASH SUKAN, meskipun KDA FC dilanda masalah sedemikian sejak sekian lama, namun semangat juang yang ada pada barisan pemain perlu digeruni.

Ifedayo mengambil contoh terdekat dimana pasukan kendalian Nafuzi Zain itu berjaya menundukkan Terengganu FC (salah satu pasukan gergasi di Malaysia) dengan keputusan 1-0 pada perlawanan tempoh hari.

Ifedayo anggap KDA FC kekal profesional.

Dengan itu, jelas bahawa pasukan PDRM FC juga tidak boleh memandang sebelah mata terhadap kebolehan KDA FC dan cuba mengambil kesempatan atas masalah yang mereka sendiri mungkin tidak terkesan.

“Kedah menentang Terengganu dan mereka masih menang, walaupun Terengganu salah satu pasukan terbaik di Malaysia. Saya tidak pasti bagaimana, mungkin para pemain mengetepikan isu-isu tersebut dan fokus bermain bola sepak. Minat mereka hanyalah pada bola sepak.

“Mereka tidak memikirkan masalah-masalah itu, sebaliknya memilih untuk menggunakan kekuatan mereka dan menghadapinya. Jadi, kita hormat kepada pasukan mereka sebagai pasukan yang sangat baik, dan kita akan kerja keras untuk perlawanan malam ini.

Tiga mata diharapkan di Stadium Darul Aman, malam ini.

“Saya tahu semua peminat bola sepak di Malaysia sedar tentang apa yang berlaku sekarang, keputusan perlawanan mereka yang lepas pun boleh dijangka. Jadi kita perlu anggap mereka tak terkesan dengan isu-isu ini,” ujar Ifedayo ketika dihubungi.

Ifedayo yang kini berjaya mencetak lima gol sejak bersama PDRM FC musim ini berharap agar pasukannya dapat meneruskan kutipan mata di tempat lawan, dan menang pada perlawanan malam ini.

Aksi antara Sang Saka Biru dan Sang Kenari dijadualkan berlangsung pada malam ini (Jumaat), di Stadium Darul Aman tepat jam 9 malam.