ATLET kelahiran Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin muncul penerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bagi Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 tertinggi, apabila menerima RM1.02 juta.

Kejayaan memenangi pingat emas serta membaharui rekod dunia dalam kategori 72 kilogram (kg), di La Chapelle Arena, membolehkan Bonnie melakar sejarah dalam sukan powerlifting.

Dia membaharui rekod dunia miliknya sendiri dengan jumlah angkatan baharu 232 kg, iaitu lebih tiga kali ganda berat badannya sendiri.

Pada Temasya Paris itu, Bonnie menewaskan atlet China, Hu Peng (perak) dan atlet Itali, Donato Telesca (gangsa).

Kejayaan membawa pulang pingat emas, membolehkan dia menerima Shakam RM1 juta manakala RM20,000 tambahan disebabkan berjaya mencipta rekod dunia baharu di temasya itu.

“Kali ni lebih istimewa dan bermakna, di Paris saya berada dalam kesakitan ketika melakukan angkatan dan rasanya cukup  berbaloi bagi saya,” kata Bonnie, ditemui pada Majlis Penyampaian Shakam Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris di sebuah hotel, di Subang Jaya.

Hadiah kemenangan Shakam, disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Pada Temasya Olimpik Tokyo 2020, Bonnie turut memenangi pingat emas dan menerima RM1juta dari kerajaan.

Dalam pada itu, pemain badminton para nombor 1 dunia (SU5), Cheah Liek Hou  muncul penerima kedua terbesar RM1 juta.

Manakala dua atlet para, Muammad Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romli muncul penerima ketiga terbanyak, apabila masing-masing membawa pulang RM300,000.

Ziyad memenangi pingat perak lontar peluru F20 manakala Latif pula pingat perak lompat jauh T20.

Eddy Bernard yang memenangi gangsa 100 meter (m) T44, menerima RM100,000.

Tiga atlet badminton, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (beregu lelaki) turut memenangi RM100,000 seorang selepas memenangi gangsa acara masing-masing.

Sementara itu, Hannah berkata, jumlah keseluruhan Shakam untuk kedua-dua temasya berkenaan berjumlah RM3.6 juta termasuk insentif kemenangan kepada jurulatih yang terlibat.

“Saya amat menghargai kewujudan Shakam ini kerana ianya merupakan hasil keringat rakyat Malaysia yang telah bekerja kuat dan menunaikan tanggungjawab membayar cukai pendapatan. Tidak kira sama ada kita menerima sebanyak RM200,000 atau RM300,000 ia dibiaya dengan hasil pendapatan sama ada seorang guru, penjual goreng pisang mahupun pemandu teksi.

“Oleh itu, mari sama-sama kita teruskan merendah diri dan sentiasa bersyukur kepada rakyat Malaysia. Terapkan dalam niat dan sanubari bahawa apabila kita berlatih dan bertanding, ianya demi rakyat Malaysia dan bukanlah untuk ganjaran semata-mata.

“Saya berharap ganjaran Shakam ini akan terus menjadi pembakar semangat kepada semua atlet-atlet negara,” katanya ketika berucap.