Kredit Foto: MFL

KEMELUT prestasi yang melanda Penang FC bertambah apabila tewas mudah 0-4 kepada Sabah FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang sekaligus meneruskan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan dalam Liga Super 2024-25.

Harimau Kumbang yang merehatkan ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan dikendalikan Merzagua Abderrazak menyaksikan empat gol luar biasa dijaringkan Sabah sekaligus memberikan kekalahan keenam mereka musim ini.

Saddil Ramdani, Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Dominic Tan masing-masing menjaringkan gol ajaib dari luar kotak penalti yang tidak berjaya diselamatkan Sikh Izhan hingga menyaksikan penjaga gol muda negara itu terpaksa dikeluarkan.

Penolong ketua jurulatih Penang FC, Mat Saiful Mohammad mengakui dua gol awal dari pihak lawan membunuh semangat para pemainnya hingga sukar untuk bangkit selepas itu dan dia mahu pemain berlajar dari perlawanan ini.

“Kita dapat lihat para pemain agak leka terutama pada lima minit pertama sehingga lawan berjaya menjaringkan dua gol pantas dan menyebabkan kita tidak dapat ‘settle down’ sehingga 30 minit.

“Bukan mudah untuk bertemu pasukan seperti Sabah yang mempunyai pemain berpengalaman dan saya harap mereka dapat belajar sesuatu dari perlawanan ini serta perlu bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan ini,” katanya selepas perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Penang FC kekal ditangga ke-11 liga dengan 11 mata selepas berakhir 13 perlawanan manakala Sabah melonjak ke tangga ketiga dengan 20 mata selepas 12 perlawanan.

Dalam dua lagi aksi Liga Super yang berlangsung pada Jumaat, Kedah Darul Aman FC diikat PDRM FC 1-1 di Alor Setar manakala Kelantan Darul Naim turut diikat Sri Pahang FC 1-1 dalam aksi di Temerloh.