MUNCUL penerima terbanyak Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) untuk Sukan Paralimpik Paris 2024, Bonnie Bunyau Gustin merancang menggunakan sebahagian RM1.02 juta untuk membina rumah impian.

Pemenang pingat emas powerlifting kategori 72 kilogram (kg) itu, merancang untuk membina rumah di tempat kelahirannya di Kampung Baru Mawang, Serian.

“Pelan (dengan ganjaran Shakam) mungkin membina rumah di Serian, Sarawak. Cuma masih belum ada perancangan lebih jelas (jenis rumah yang akan dibina),” katanya, selepas Majlis Shakam.

Atlet berusia 25 tahun ini bukan sahaja meraih pingat emas di temasya berkenaan tetapi juga memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232kg.

Sebagai pemenang emas, Bonnie layak menerima insentif RM1 juta, ditambah RM20,000 untuk pencapaian membaharui rekod.

Barisan atlet negara yang menerima insentif kemenangan Shakam bai Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

Bonnie sebelum ini sudah menerima RM500,000 daripada kerajaan negeri Sarawak, sebagai insentif kejayaannya di Paris.

Dia yang beraksi dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan bahu di temasya berkenaan, buat masa sekarang akan fokus kepada pemulihan kecederaan dan dijangka sembuh hujung tahun ini.

“Status kecederaan saya berada dalam keadaan baik dan sekarang ini melalui proses pemulihan serta fisioterapi. Saya hanya berlatih secara ringan sahaja untuk persiapan tahun depan. Buat masa sekarang sudah 70 hingga 80 peratus untuk pulih.

Bonnie antara atlet para yang dijangka mempertahan pingat emas di Paris.

“Selepas itu barulah saya akan fokus kepada Kejohanan Dunia di Mesir,” katanya yang sudah merangkul emas sebanyak tiga kali di kejohanan berkenaan pada 2019 (Nur Sultan), 2021 (Tbilisi) dan 2023 (Dubai).

Ditanya mengenai sasaran emas hatrik Paralimpik, anak kepada legenda powerlifting negara, Gustin Jenang mengakui mempunyai perancangan ke arah itu, namun fokusnya lebih terarah kepada mempertahankan kejuaraan kejohanan dunia terlebih dahulu.

“Saya juga mahu mengekalkan ranking nombor satu dunia,” kata pemenang tiga emas Piala Dunia  dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu.