PENGERUSI Penang FC, YB Daniel Gooi mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas satu lagi kekalahan skuad Harimau Kumbang kali ini di tangan Sabah FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Jumaat.
Skuad kendalian jurulatih interim, Merzagua Abderrazak tewas mudah 0-4 kepada skuad Badak dengan kesemua empat gol diledak dari luar petak penalti yang terus mematikan semangat para pemain untuk terus berjuang.
Gooi yang juga Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang jelas kecewa dan dia memuatnaik hantaran di laman sosial Facebook rasminya dan menjelaskan ada perubahan akan berlaku selepas ini.
“Saya ambil tanggungjawab untuk kekalahan kelab pada malam ini. Prestasi yang disembahkan malam ini adalah amat mengecewakan. Namun seperti yang dimaklumkan, tindakan pun telah diambil dan akan diumumkan secepat mungkin selepas dimuktamadkan,” tulisnya menerusi hantaran itu.
Terdahulu, pihak pengurusan telah melakukan satu mesyuarat bagi menentukan hala tuju kelab bagi memastikan kepentingan pasukan dan penyokong diutamakan bagi mengukuhkan semula prestasi pasukan.
Tindakan awal yang dapat dilihat adalah, tiada kelibat ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang difahamkan sudah direhatkan dan tugasannya diambil alih Merzagua Abderrazak dan dibantu Saiful Mohammad ketika bertemu Sabah FC.
Daniel juga turut memuat naik hantaran menyokong penjaga gol, Sikh Izhan yang terpaksa dikeluarkan pada babak kedua selepas bolos empat gol jarak jauh dan dia merasakan ini bukanlah malam terbaik buat pemain itu dan mahu dia bangkit kembali.
Penang FC bakal berhadapan satu lagi ujian besar apabila bertemu Terengganu FC pada 1 November dan sesuatu perlu dilakukan untuk menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan.