PENOLONG Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN FC), Rezal Zambery Yahya beranggapan bahawa keputusan seri 1-1 yang diperoleh adalah sudah adil bagi pasukannya.
KDNFC dan Sri Pahang FC telah menunjukkan aksi berbalas serangan sepanjang 90 minit masa perlawanan.
Mengulas lanjut, Rezal menyatakan pasukan KDNFC sepatutnya mendapat tiga mata positif tetapi dikecewakan dengan kesilapan mudah.
“Kita dikecewakan dengan kesilapan mudah, kalau tidak kita dapat kutip tiga mata positif.
“KDNFC juga lebih banyak mencipta peluang tetapi tak dapat tukar kepada jaringan gol. Ini yang kami kena baiki.
“Apapun, satu mata ini, Alhamdulillah. Mata yang sangat berharga. Untuk perlawanan selepas ini, KDNFC akan terus meningkat,” ujarnya menerusi kenyataan rasmi KDNFC.
Keputusan perlawanan malam Jumaat itu dilihat begitu adil untuk kedua-dua pasukan, mengikut corak permainan yang ditunjukkan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Pada aksi di hadapan lebih 500 penyokong yang hadir, Skuad Park Jaehong memecahkan kebuntuan melalui jaringan Washington Brandao pada minit ke-21 dengan Sri Pahang FC membalas menerusi Adam Nor Azlin dan kedudukan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat.