SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) pastinya mahu menebus kekecewaan tewas buat pertama kali musim ini di Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) apabila berhadapan Selangor FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.
Harimau Selatan pastinya mahu melupakan kekalahan itu dan sudah tentu akan menjadikan aksi bertemu Gergasi Merah sebagai medan terbaik untuk bangkit dan juga membuktikan kemenangan 6-1 ketika final Piala FA bukanlah nasib semata-mata.
Namun begitu, mereka akan berhadapan skuad Selangor yang berbeza terutama selepas anak-anak buah Nidzam Jamil berjaya menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sekaligus memberikan motivasi tambahan buat mereka.
Melihat kepada hantaran di laman sosial rasmi JDT, Hector Bidoglio membawa skuad dengan kekuatan penuh ke Kelana Jaya dengan kesemua pemain utama yang beraksi di ACLE turut sama menaiki penerbangan sewa khas dari Johor Bahru.
JDT sudah pasti mahu meraih kemenangan berganda keatas Selangor sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga manakala Selangor pula mahu menyekat dominasi dan merapatkan jurang mata.
Kedua-dua pasukan dijangka menyajikan satu perlawanan yang menarik dan mendebarkan di dalam stadium yang penuh selepas tiket dilaporkan habis dijual dan pastinya memberikan satu atmosfera menarik.
Dilihat pada rekod pertemuan, lima perlawanan terakhir semuanya memihak kepada JDT dengan lima kemenangan dan Harimau Selatan berjaya menjaringkan 18 gol manakala Selangor hanya mampu membolosi dua gol dalam tiga kejohanan yang berbeza.
Nidzam Jamil pastinya tidak mahu tragedi final Piala FA berulang kembali terutama apabila beraksi di laman sendiri dan dia sudah tentu mempunyai pelan strateginya sendiri untuk memerangkap JDT dari terus bermaharajalela.
Namun begitu, Selangor berdepan masalah kecederaan yang agak kritikal dan pemain gantian perlu membuktikan mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam aksi yang bakal menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan.
Bagi Hector Bidoglio pula, dia bebas melakukan pemilihan pemain apabila kesemua pemainnya berada dalam keadaan cergas dan setiap dari mereka mempunyai kualiti yang hampir sama untuk melaksanakan tugas membawa pulang tiga mata ke Iskandar Puteri.
Adakah Selangor mampu menyekat JDT atau Harimau Selatan terus meratah Gergasi Merah dalam perlawanan tumpuan ini dan apa yang pasti ianya adalah hiburan malam minggu terbaik buat semua penyokong.