Kredit foto: MFL

NADA berbeza dapat didengari dari dua pengendali Kuching City FC dan Kuala Lumpur City FC ketika sesi sidang media selepas berakhir aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu yang memihak kepada tuan rumah 3-1.

Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji karektor dan komitmen yang ditunjukkan para pemainnya terutama apabila mereka bermain dengan sembilan pemain selepas dua kad merah dilayangkan kepada James Okuwosa dan Tchetche Kipre.

Aidil turut gembira dengan kedudukan mereka di tangga kelima liga ketika ini namun dia menegaskan pemain perlu terus berdisipin dan bekerja keras bagi memastikan kedudukan itu kekal hingga akhir musim.

Tchetche Kipre meraikan jaringannya ketika menewaskan KL City 3-1 di Kuching

“Kredit kepada semua pemain yang menjalankan tugas dengan baik sepanjang 90 minit permainan terutama apabila bermain dengan sembilan pemain ketika bertemu pasukan yang baik seperti Kuala Lumpur City.

“Kami gembira dengan kedudukan kami sekarang tetapi ini adalah liga yang mana kami perlu kekal disiplin dan konsisten dengan setiap pasukan kini sudah melihat progres kami dan pemain perlu bermain sebagai satu pasukan jika mahu kedudukan ini kekal,” katanya.

Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac mengakui bolos seawal minit pertama perlawanan merencatkan perancangan pasukan yang memerlukan masa yang panjang untuk kembali bangkit.

Paulo Josue menjaringkan gol tunggal KL City menerusi sepakan penalti 

Dia juga turut mengkritik cara permainan tuan rumah dengan mendakwa mereka sering melambatkan permainan terutama pada penghujung perlawanan namun dia perlu menerima keputusan aksi ini yang dianggap tidak membawa tuah buat pasukannya.

“Dibolosi seawal minit pertama jejaskan kami kerana memerlukan hampir 20 minit untuk keluar dari keadaan terkejut dan selepas kami berjaya rapatkan kedudukan, kami bolos sekali lagi dan inilah keputusan yang patut kami terima dari perlawanan ini.

“Selepas ketinggalan 3-1, kami cuba untuk terus mencari gol namun gagal dan dihampakan kecekapan penjaga gol lawan. Kami tidak bernasib baik kali ini dan selepas itu dalam 25 minit terakhir, lawan lebih banyak membazirkan masa sahaja namum inilah bola sepak,” jelasnya.

Haqimi Azim dan Ramadhan Saifullah dua aset muda negara

Jaringan sendiri daripada Giancarlo Gallifuoco dan masing-masing satu dari Petrus Shitembi dan Tchetche Kipre cukup untuk memberikan tiga mata buat Kuching City yang kini dianggap sebagai pasukan paling meningkat musim ini.