PASUKAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkul kejuaraan Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi Ke-40 dengan penuh bergaya selepas menumpaskan Johor 43-29 dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium UiTM Shah Alam, petang tadi.

Perlawanan bermula dengan seimbang di separuh masa pertama, tetapi PDRM menunjukkan serangan yang lebih agresif di kawasan Johor.

Hasil tekanan awal, pemain bernombor 10, Kitone Taliga, memberikan hantaran tepat kepada Ameer Nasrun yang melepasi pertahanan Johor dan mencatat try pertama pada minit ke-10. Amirul Aqil menyempurnakan conversion, memberikan PDRM kedudukan 7-0.

Johor, tidak mahu kalah, bangkit dengan try pada minit ke-13 oleh Keponi Paul yang disusuli dengan conversion oleh Fairuz Rahman, mengikat kedudukan 7-7. Momentum Johor semakin kuat apabila mereka mendahului 12-7 selepas try kedua oleh Akeripa Saveatama.

Namun, PDRM tidak mudah menyerah. Pada minit ke-20, pemain no. 8, Taniela Tuirabe, meraih try yang hampir menyamakan kedudukan, tetapi conversion oleh Taliga gagal.

Johor kembali memimpin apabila Fairuz menyempurnakan penalti, mengubah kedudukan kepada 17-12. Namun, Kitone Taliga kembali mencipta magis dengan try yang membawa PDRM kembali di hadapan dengan 19-17.

Separuh masa pertama tamat dengan PDRM mendahului tipis.

Memasuki separuh masa kedua, PDRM mempamerkan prestasi luar biasa. Hariz Ezzat (no. 14) melakukan try yang pantas di bahagian kiri padang, diikuti dengan conversion yang tepat oleh Amirul Aqil, menjadikan kedudukan 26-17.

Hariz sekali lagi berjaya meloloskan diri untuk try kedua, dengan Amirul Aqil menyempurnakan conversion, memberikan PDRM kelebihan selesa 33-17.

PDRM terus mendominasi perlawanan apabila Kitone Taliga mencatat try pada minit ke-50 selepas mengatasi kawalan pemain Johor, dan conversion dari Amirul Aqil menambahkan mata lagi buat PDRM, menjadikan kedudukan 40-17.

Johor yang berada di bawah tekanan cuba bangkit dengan try oleh Syarif Hidayat (no. 6) yang disempurnakan dengan conversion oleh Fairuz, menjadikan kedudukan 40-24. Mereka terus menekan dan mendapatkan try tambahan menerusi Serupepeli Turuva, tetapi conversion kali ini gagal, dan kedudukan kekal 40-29.

Hariz Ezzat Menjadi pemain terbaik perlawanan selepas menunjukan prestasi luar biasa.

Ketegangan memuncak pada minit ke-77 apabila pemain Johor, Serupepeli, dikenakan kad merah selepas high tackle terhadap pemain PDRM. Akibat kekasaran tersebut, Amirul Aqil berjaya menyempurnakan penalti, menjadikan kedudukan akhir 43-29.

Sementara itu, Terengganu berjaya meraih tempat ketiga dalam kejohanan ini selepas mengalahkan Selangor dengan keputusan masa penuh 43-39, dalam perlawanan penentuan yang berlangsung sengit.

Kemenangan ini menyaksikan PDRM berjaya menjulang Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-40 dengan cemerlang, menunjukkan permainan yang taktikal dan mantap, sekaligus mengatasi cabaran sengit daripada pasukan Johor.