LIGA Teqball Malaysia 2024 melabuhkan tirainya dengan menyaksikan Melaka Mavericks muncul sebagai juara baharu, menundukkan DBKL Hunters yang sebelum ini mempertahankan gelaran.
Presiden Persatuan Teqball Malaysia, Siva Kumar Jakarathan, memberikan kenyataan yang membakar semangat, terutama berkaitan dengan kejohanan dunia dan Sukan SEA tahun hadapan.
“Kita akan menghantar pasukan kita ke Piala Dunia Teqball di Hanoi tahun depan, cuma sekarang kita masih menunggu dana.
“Saya berharap dana yang secukupnya ini disediakan untuk menghantar pemain-pemain yang telah memenangi kejohanan ini,” ujarnya, semasa Majlis Penutupan Liga Teqball Malaysia 2024.
Siva turut menyatakan hasrat besar Malaysia untuk Sukan SEA 2025, di mana teqball secara rasmi akan diperkenalkan sebagai sukan utama.
“Saya juga berharap kita akan memulakan kempen kita pada Januari ini, dengan fokus penuh untuk mencapai sekurang-kurangnya dua pingat emas buat pasukan teqball Malaysia.
“Bagi mereka yang tidak berjaya kali ini, masih ada masa untuk bekerja keras dan mencapai tahap terbaik,” tambahnya.
Lapan pasukan berentap sengit dalam kejohanan kali ini, yang menyaksikan pasukan Negeri Sembilan Stags di tempat ketiga, DBKL Hunters di tempat kedua, manakala Melaka Mavericks diangkat sebagai juara.
Pasukan Selangor Virtus berakhir di tempat keempat, diikuti MBPJ Black Widow di tangga kelima, Kilat KL Brighters di tempat keenam, UM Bison di tempat ketujuh, dan ICMS Titans di tangga kelapan.
Kejayaan Melaka Mavericks ini turut diharap menjadi motivasi buat pasukan-pasukan lain untuk mengintai peluang di peringkat antarabangsa dan mencapai kejayaan di Sukan SEA 2025.
“Mereka yang tidak memenangi kejohanan kali ini, berharap anda semua boleh bekerja keras lebih lagi dan saya berharap untuk melihat lebih banyak pasukan dan pemian yang boleh mengambil bahagian dalam sukan ini,” tambah Siva.