PASANGAN beregu campuran DBKL Hunters, Siti Asnidah Zamri dan Muhammad Rakhli Abd Rahman, berjaya meraih emas kategori beregu campuran setelah menewaskan lawannya dari Melaka Mavericks pada Ahad.

Gandingan mantap ini membuktikan keunggulan mereka dalam sukan teqball dan menyuarakan impian besar untuk mengangkat sukan ini ke tahap yang lebih tinggi di Malaysia.

Menurut Rakhli, kejohanan ini merupakan antara yang terbesar untuk sukan teqball di Malaysia sekaligus menjadikan kemenangan tersebut lebih bermakna.

“Ini antara kejohanan terbesar di Malaysia untuk sukan teqball, jadi perasaan saya sangat seronok apabila berjaya memenanginya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Liga Teqball Malaysia 2024.

Pemenang Liga Teqball 2024

Bagi Asnidah pula, kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasinya dan pasangan.

“Next session sudah tentu kami akan buat yang lebih baik, dan sudah pasti kami target menjadi champion, untuk Sukan SEA yang akan datang kami akan target untuk ke podium,” katanya.

Walaupun sukan teqball semakin mendapat perhatian, Rakhli mengakui masih terdapat cabaran untuk menyamai tahap kemajuan negara-negara jiran.

“Sukan teqball di Malaysia agak slow sedikit nak dibandingkan dengan negara lain macam Thailand, yang sudah melangkah jauh. Jadi, saya harap kita perlu cepat catch up dan banyakkan improvement untuk mencari bakat-bakat baharu,” tambahnya.

Sekitar Majlis Penutupan Liga Teqball 2024

Pasangan beregu ini turut berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada sukan ini.

Mereka percaya sokongan yang meluas akan membuka lebih banyak peluang kepada atlet tempatan untuk menyerlah.

“Apabila ramai yang menyokong dan tahu, ramai yang akan hargai dan join sukan ini nanti,” tambahnya.

Dengan semangat dan tekad mereka, pasangan beregu DBKL Hunters itu berharap kemenangan ini dapat menjadi inspirasi kepada mereka untuk terus bersaing hebat di pentas antarabangsa, terutama di Sukan SEA 2025.