BEBERAPA keping gambar di Instastory Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencuri tumpuan semua pengikutnya.

Apa tidaknya, sebaik sahaja JDT berjaya menewaskan kelab gergasi Korea Selatan Ulsan Hyundai 2-1 dalam saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC di Stadium Sultan Ibrahim, kelihatan pemilik kelab Harimau Selatan ini sangat  gembira.

Perkara pertama yang dilakukan adalah mengangkat tangan tanda kesyukuran (perbuatan yang sudah menjadi kebiasaannya) sebelum memeluk Pengarah Sukan kelab Martin Prest, serta memeluk erat adiknya Tunku Abdul Rahman yang turut berada di situ.

Kemenangan ini begitu bermakna buat JDT yang dilihat semua pemain beraksi seolah-olah seperti perlawanan akhir.

Dengan, kemenangan ini, JDT kini di tangga teratas Kumpulan I dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan dan akan bertemu Kawasaki Frontale (dua kali) pada 21 dan 24 April ini.