KEJOHANAN hoki remaja B-17 tahun, Piala Mirnawan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya menyaksikan lebih banyak penyertaan dari pasukan antarabangsa berbanding dua edisi sebelum ini.

Untuk edisi kali ini, sebanyak 14 pasukan mengambil bahagian dalam dua kategori lelaki dan wanita dengan 10 pasukan negara sudah mengesahkan penyertaan di kejohanan yang bakal berlangsung dari 3 hingga 9 November 2024 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal gembira dengan penganjuran kejohanan ini yang dianggap medan terbaik buat skuad remaja menimba pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

Datuk Seri Subahan Kamal ketika sidang media rasmi kejohanan Piala Mirnawan edisi ketiga

“Kami akan gunakan kejohanan ini sebagai tempat buat para pemain remaja menimba pengalaman dan akibat kekurangan kewangan, kami bersetuju untuk menjadi penganjur kerana kosnya lebih rendah dengan memanggil pasukan lawan ke sini berbanding jika kita terbang ke mana-mana kejohanan antarabangsa.

“Namun itu bukan bermakna kita tidak akan menghantar skuad ke kejohanan luar negara tetapi kita akan mencari dahulu dana dan kita juga telah mencapai persetujuan dengan pasukan lawan untuk menjemput kita semula bermain dengan mereka di sana,” katanya dalam sidang media rasmi di Bukit Jalil.

Subahan juga mengakui kejohanan remaja antarabangsa ini semakin mendapat tempat dari negara-negara luar dengan pihaknya menerima permohonan yang luar biasa dari pelbagai negara untuk hadir dan bermain di Malaysia.

Dia juga tidak menolak kemungkinan kejohanan ini akan diperbesarkan supaya lebih banyak pasukan dapat menyertai sekaligus memberikan pendedahan antarabangsa yang baik buat pemain muda negara.

“Kita menerima sambutan yang luar biasa dari pelbagai negara. Ramai yang menyatakan minat tetapi ada juga yang terpaksa menolak kerana pertembungan jadual dengan kejohanan domestik di negara mereka.

“Oleh itu kita akan mengkaji semula format dan jadual kejohanan ini kerana ianya kini menjadi antara kejohanan remaja yang penting dalam kalendar antarabangsa hoki remaja,” jelasnya.

Trofi yang bakal menjadi rebutan 7 pasukan lelaki dan 7 pasukan wanita

Untuk edisi ketiga ini, bagi kategori lelaki, tujuh pasukan akan mengambil bahagian iaitu Malaysia Speedy, Malaysia Tigers, Kanada, Afrika Selatan, Austria, Korea Selatan dan juga kelab Queensland dari Australia.

Sementara bagi kategori perempuan pula juga menyaksikan tujuh pasukan – Malaysia Speedy, Malaysia Tigers, Afrika Selatan, Jepun, Austria, Korea Selatan dan kelab Queensland dari Australia.

Sebagai rekod, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) muncul juara edisi sulung untuk kategori lelaki dengan wakil India, Sports Odisha memenangi kategori wanita dan pada tahun 2023, Sports Odisha bergelar juara kategori lelaki dan Australia All Star muncul juara kategori wanita.