PERSAINGAN sengit anugerah individu paling berprestij dunia bola sepak, Ballon d’Or 2024, bakal mencapai kemuncaknya pada awal pagi selasa.
Selepas setahun yang penuh dengan aksi antarabangsa di kejohanan seperti Euro 2024 dan Copa America, dunia bola sepak kini menantikan bintang manakah yang akan dinobatkan sebagai pemain terbaik.
Musim lalu menyaksikan beberapa pemain terkemuka mempamerkan prestasi luar biasa seperti Vinicius Jr daripada Real Madrid dilihat sebagai calon utama selepas mencatat 26 gol dan 12 bantuan gol sepanjang musim 2023-24, membawa pulang trofi Liga Juara-Juara, La Liga, dan Supercopa de Espana.
Pemain Brazil ini dijangka akan berada di kedudukan teratas dengan kehebatannya di peringkat kelab yang berjaya membantu Real Madrid meraih kejuaraan-kejuaraan penting.
Di tempat kedua, Rodri, yang turut memenangi Euro 2024 bersama Sepanyol, bersaing rapat dengan Vinicius Jr selepas musim cemerlang bersama Manchester City di mana beliau turut memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala Kelab Dunia, dan Piala Super UEFA.
Sumbangan Rodri termasuk 12 gol dan 15 bantuan gol yang menjadikannya salah satu pemain tengah paling berpengaruh dalam bola sepak Eropah.
Jude Bellingham, bintang Real Madrid yang mencipta nama besar pada separuh pertama musim, dijangka akan berada di belakang Vinicius dan Rodri dalam ranking Ballon d’Or tahun ini. Pemain England ini berjaya menjaringkan 27 gol dan membuat 17 bantuan gol sepanjang musim.
Sementara itu, beberapa nama besar lain seperti Erling Haaland dan Emiliano Martinez juga turut mencuri perhatian apabila mereka mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim yang mengangkat pencapaian pasukan masing-masing ke tahap yang lebih tinggi.
Dengan persaingan sengit antara mereka, malam anugerah ini dijangka akan menjadi sejarah, memperkukuh legasi salah seorang daripada mereka dalam dunia bola sepak.