PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan mendedahkan bahawa pihaknya telah bersedia untuk menganjurkan Kejohanan Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa pada tahun hadapan.

Menurut beliau, temasya yang akan berlangsung pada 10 hingga 18 Mei 2025 itu pasti menjadi satu medan baharu buat sukan sepaktakraw untuk terus berkembang dan bergerak lebih maju.

Dengan kelebihan dilantik sebagai tuan rumah, pihak PSM dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) telah bercadang untuk mewajibkan acara regu, selain tiga acara lain yang akan dipertandingkan.

“Terdapat empat acara yang telah dicadangkan, acara berpasukan, regu, double dan kuadran. Seorang pemain hanya boleh beraksi dalam dua acara sahaja.

Sidang media oleh Presiden PSM di Seri Pasific Hotel.

“Tambahan, negara yang akan menyertai kejohanan nanti disyaratkan supaya tidak boleh mengambil lebih daripada tiga acara, kecuali kita (tuan rumah) yang akan beraksi dalam keempat-empat acara,” ujarnya ketika ditemui pada sesi sidang media, petang Isnin.

Dalam masa yang sama, Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader turut memberikan contoh dan hasrat untuk melihat Piala Asia 2025 nanti berdiri setaraf dengan Piala AFF Suzuki.

“Kerana itu, kita mahu libatkan negara-negara terbaik di ranking Asia untuk bersama-sama mempamerkan aksi kekuatan mereka,” tambahnya.

Piala Asia 2025 pastinya akan menjadi sebuah kejohanan yang ditunggu-tunggu oleh peminat sepaktakraw Malaysia kerana ia akan menjadi medan bakat-bakat terbaik di negara Asia yang akan bersama menyertai piala berkenaan.