SELEPAS kira-kira 8 tahun tidak dapat merayakan Deepavali pada hari sambutan, jaguh badminton beregu wanita negara, M Thinaah menganggap Deepavali 2024 amat istimewa.

Manakan tidak, perayaan Deepavali pada 31 Oktober ini tidak bertembung dengan mana-mana kejohanan antarabangsa selain dia mendapat cuti untuk menyambutnya.

“Tahun ini extra special, sudah 7/8 tahun tidak dapat balik bersama keluarga, kali ini saya berada di Kuala Lumpur dan dapat balik rumah, saya amat menghargai detik ini.

“Sebelum ini, saya hanya akan meraikan bersama keluarga agak lewat, namun keluarga tetap merancang meraikannya bersama,” kata Thinaah, menceritakan rasa terujanya dapat menyambut Deepavali bersama keluarga pada hari pertama perayaan.

Thinaah bersama keluarganya. | FOTO Instagram thinaah_m

Dia yang berpasangan dengan Pearly Tan berkata, Deepavali 2022 juga amat bermakna buat dirinya meskipun jauh dari keluarga, berikutan dia berjaya merangkul kejuaraan.

Gara-gara menyertai kejohanan di Eropah, dia tidak dapat bersama keluarganya untuk menyambut Deepavali 24 Oktober 2022, dirinya tetap bercahaya ketika menyertai Kejohanan Terbuka Perancis (25-30 Oktober 2022) apabila dia dan Pearly mengakhirinya dengan muncul juara pada kejohanan berstatus Super 750 itu.

“Selalunya sambutan Deepavali jatuh pada waktu saya menyertai kejohanan di Eropah, tapi pada 2022 ada kawan-kawan datang ke Perancis meraikan bersama, makan bersama saya selain saya juga ada bawa masakan siap ke Perancis.

“Apabila kami menang gelaran… Deepavali tahun itu jadi lebih berbeza keistimewaannya,” ujarnya lagi.

Menceritakan rutin dirinya setiap kali menyambut Deepavali, Thinaah berkata, pada hari istimewa itu, dia akan bangun dari tidur lebih awal untuk bersembahyang sama ada di rumah mahupun ke kuil.

Katanya, kehidupan sebagai seorang atlet membuatkannya sering merancang setiap kali tiba Deepavali.

Thinaah akan melakukan persiapan membeli pakaian baharu, sebelum atau selepas berakhirnya kejohanan dan tidak akan pernah terlupa menghubungi keluarganya, ketika menyertai kejohanan di luar negara.