PEMAIN tengah Sri Pahang FC, Saravanan Thirumurugan atau lebih dikenali sebagai T.Saravanan lebih teruja dengan perayaan Deepavali tahun ini kerana dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Ini berikutan pemain yang berusia 23 tahun itu kurang mendapat perhatian daripada ketua jurulatih, Fandi Ahmad untuk kerap mewakili kesebelasan utama pasukan seterusnya beraksi dalam 90 minit perlawanan.

Menurut Saravanan, mungkin terdapat hikmah yang tersirat disebalik ‘nasibnya’ itu, dimana dia dapat pulang ke pangkuan keluarga tersayang dengan lebih awal untuk menyambut perayaan Deepavali.

Saravanan ketika beraksi pada perlawanan Sri Pahang dan Terengganu FC tempoh hari.

“Sebelum ini (bersama Kuala Lumpur City FC), saya kurang masa untuk menyambut perayaan bersama keluarga dan rakan-rakan saya. Saya tidak sempat menikmati sepenuhnya Hari Deepavali ini.

“Namun mungkin ada hikmah untuk musim ini, dengan situasi saya sekarang ia membolehkan saya meluangkan lebih banyak masa yang berkualiti bersama keluarga.

“Saya juga agak teruja kerana perayaan tahun ini, saya akan beraya di rumah keluarga teman wanita saya. Sudah tiga tahun kami mengenali antara satu sama lain, ini kali pertama saya akan sambut Deepavali bersama keluarga dia,” ujar Saravanan kepada Flash Sukan.

Pemain Sri Pahang FC teruja dapat beraya di rumah keluarga teman wanita tahun ini.

Dalam masa yang sama, Saravanan turut menyatakan harapan mendalam untuk mendapatkan minit permainan terbaik bersama pasukannya Sri Pahang FC.

“Saya berharap sempena Deepavali ini, satu sinar akan datang dan memberi saya peluang untuk beraksi bersama Sri Pahang dalam perlawanan akan datang, sekali gus memburu minit permainan walaupun saya tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama,” tambahnya.

Saravanan yang baru bersama skuad Tok Gajah musim ini telah membuat penampilan sebanyak lima kali daripada keseluruhan 13 perlawanan Liga Super setakat ini. Sri Pahang pula kini sedang menduduki tangga kelapan carta dengan 15 mata secara keseluruhan.