Kredit Foto: Sabah FC dan KDA FC
PASUKAN Sabah FC hanya mahu fokus serta terus mencatatkan keputusan secara konsisten pada setiap perlawanan dan tidak mahu terlalu memikirkan terlebih dahulu kedudukan liga meskipun berada dalam keadaan terbaik ketika ini.
Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee nyata gembira dengan prestasi semasa pasukan apabila mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut keatas lawan dari utara Semenanjung Malaysia – Perak FC, Penang FC dan Kedah Darul Aman FC namun sedar masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
Terdahulu, Sabah menewaskan Kedah 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas yang turut menyaksikan mereka menjaringkan 13 gol dalam tiga perlawanan sekaligus melonjak ke tangga ketiga selepas berakhir pusingan pertama.
“Ianya satu keputusan yang cukup baik tetapi kita bukanlah mendapat laluan yang mudah kerana mereka mengawal permainan dengan baik dan kita gagal mengekalkan rentak apabila mendahului sehingga kita mendapat gol ketiga dan keempat.
“Di sini kita harus perbaiki di mana saya belum berpuas hati dengan gol yang dibolosi di mana kita perlu perbaiki dan elakkan pada perlawanan-perlawanan yang akan datang.
“Jika dilihat jumlah gol yang dijaringkan dari tiga perlawanan, kita tidak berharap pada seorang tetapi semua pemain boleh menjaringkan gol dan ini sudah tentu memberikan banyak kelebihan buat Sabah dan gol-gol yang dihasilkan juga berbeza berbanding ketika bertemu Penang FC,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sembilan mata maksimum dari tiga perlawanan menyaksikan Sabah kini mengumpul 23 mata dan hanya dipisahkan tiga mata dari pasukan tempat kedua, Selangor FC namun Kim Swee merasakan masih terlalu awal buat Sabah untuk memikirkan tentang kedudukan dalam liga.
“Masih lagi awal dan baru pertengahan musim. Untuk kita kekalkan atau perbaiki kedudukan, kita perlu konsisten dan saya ingin tumpukan dari satu perlawanan ke satu perlawanan sebelum memikirkan sama ada tempat pertama, kedua atau ketiga tetapi apa yang penting kita perlu pastikan beraksi secara konsisten dalam setiap perlawanan untuk dapatkan keputusan yang baik,” jelasnya.
Dua gol daripada Joao Pedro dan masing-masing satu dari Saddil Ramdani, S.Kumaahran dan Gary Steven Robbart berjaya memastikan tiga mata penuh di hadapan lebih 5,000 penyokong yang hadir dan Sabah bakal bertemu Kelantan Darul Naim FC selepas ini.