SKUAD hoki remaja lelaki Bawah 21 tahun (B-21) tetap memiliki potensi besar untuk menyerlah di Kejohanan Hoki Ramaja Asia yang akan berlangsung di Muscat, Oman, November ini.

Bekas Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Prof Datuk Dr S.Shamala berkata, skuad bimbingan I. Vikneswaran itu hanya memerlukan perlawanan pendedahan dan sedikit masa lagi untuk matang dan memberi impak.

“Merujuk kepada Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC), saya percaya mereka memerlukan lebih banyak pendedahan dan sedikit masa lagi untuk menjadi lebih baik.

“Berdasarkan keputusan jaringan di kejohanan itu juga, saya berasa jumlah jaringan yang dicipta tidak teruk malah mereka sebenarnya mampu bersaing dengan seimbang ketika berdepan pasukan-pasukan besar,” kata Shamala, mengutarakan pandangannya sebagai individu yang berada di luar KHM ketika ini.

Menurutnya, pasukan itu baru dibentuk dan berjaya mempamerkan prestasi yang baik pada kejohanan pertama, bukan sesuatu yang mudah.

Malah beliau berkata, persiapan pasukan remaja mengikut peringkat umur tidak seperti persiapan ke Piala Negara-Negara atau Piala Dunia, yang sudah dara rancangan dua tahun, empat tahun kerana kekangan pasukan yang perlu bertukar selepas umur pemain meningkat.

Pada saingan SOJC pertengahan bulan ini, skuad B-21 lelaki negara tewas 2-3 kepada New Zealand, 1-4 kepada Jepun,2-4 di tangan India, 1-2 kepada Great Britain dan 3-9 di tangan Australia, dalam aksi round robin.

Profesor Datuk Dr S.Shamala optimis skuad hoki remaja lelaki negara mampu meningkatkan prestasi sebelum ke Kejohanan Remaja Asia 2024.

Pada penentuan tempat kelima dan keenam, skuad negara berjaya mengikat Jepun 2-2 dalam tempoh sebenar perlawanan namun tewas pada penentuan penalti, sekali gus menyaksikan mereka menamatkan saingan di kedudukan keenam.

Untuk rekod, Malaysia hanya menjuarai kejohanan itu pada edisi sulung 2011, dan kemarau kejuaraan berlarutan hingga ke edisi 2024.

Pasukan bimbingan Vikneswaran diletakkan sasaran besar pada Kejohanan Hoki Remaja Asia yang akan berlangsung di Oman pada 26 November hingga 4 Disember depan.