SUKAN bola sepak di Malaysia adalah nadi kepada perpaduan masyarakat yang menghubungkan rakyat daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira ekonomi, bangsa, atau status.
Menyedari pengaruh besar sukan ini, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memperkukuhkan komitmennya dalam menyokong bola sepak tanah air dengan mengambil langkah strategik menjadi penaja bersama atau Gold (Tier 2) bagi Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.
Langkah ini menjadikan Stadium Nasional di Bukit Jalil, stadium ikonik yang menjadi kebanggaan negara sebagai Stadium Rasmi untuk Liga Malaysia di bawah kendalian Malaysian Football League (MFL).
Stadium ini akan menjadi gelanggang bagi ketiga-tiga kejohanan utama Liga Malaysia, iaitu Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi peranan Stadium Nasional sebagai pusat perkembangan bola sepak tanah air.
Sejak 2019, Stadium Nasional Bukit Jalil telah dijadikan “home ground” atau rumah rasmi bagi pasukan Harimau Malaya. Dengan kerjasama yang baharu dimeterai ini, PSM ingin memastikan bahawa pasukan kebangsaan dan setiap kelab dalam Liga Malaysia dapat terus menikmati sokongan infrastruktur bertaraf antarabangsa, yang penting dalam membentuk suasana pertandingan yang kondusif serta menarik minat penonton dan peminat dari seluruh negara.
Majlis penyerahan simbolik penajaan ini disempurnakan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Encik Iliyas Jamil, dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi.
Di saat bola sepak semakin popular dan disokong oleh masyarakat umum, PSM dan MFL sama-sama berharap agar inisiatif ini dapat memperkasakan lagi liga tempatan dan menginspirasi lebih ramai peminat bola sepak untuk bersama menyokong pasukan kebangsaan dan liga-liga utama.
Melalui usaha ini, PSM dan MFL tentunya akan wujud perkembangan positif dalam arena bola sepak tanah air, seterusnya memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang mampu bersaing di persada antarabangsa dalam sukan bola sepak.
Dengan kerjasama ini, harapan besar diletakkan untuk terus melahirkan lebih banyak bakat-bakat bola sepak dari peringkat akar umbi hingga profesional.
Langkah ini juga diharap menjadi inspirasi kepada organisasi lain untuk sama-sama menyumbang ke arah kelangsungan dan kemajuan sukan bola sepak di Malaysia, demi merealisasikan impian melihat Malaysia lebih cemerlang di lapangan bola sepak dunia.