PERLAWANAN Carabao Cup antara Manchester City dan Tottenham menyaksikan detik cemas apabila pemain muda Brazil berusia 20 tahun, Savinho, terpaksa dikeluarkan dari padang dengan pengusung selepas mengalami kecederaan serius pada minit ke-63.
Savinho mengalami kecederaan di buku lali ketika cuba menghantar bola silang di kawasan penalti.
Dia menerima rawatan kecemasan di padang selama beberapa minit sebelum pasukan perubatan City memutuskan untuk membawa pengusung bagi membawanya keluar dari padang.
Insiden ini merupakan tamparan hebat kepada pengurus Manchester City, Pep Guardiola, yang sebelum ini menyatakan hasrat utamanya untuk memastikan pasukannya terhindar daripada sebarang kecederaan dalam perlawanan ini.
Namun begitu, Guardiola kini perlu berdepan dengan kecederaan Savinho yang menambahkan lagi krisis kecederaan yang melanda City.
Dalam pada itu, pemain utama seperti Kevin De Bruyne, Kyle Walker, dan pemain muda Oscar Bobb telah pun disahkan terpaksa berehat panjang.
Pemain terbaik dunia Ballon d’Or, Rodri, juga tidak akan dapat beraksi sepanjang musim ini.
City dijangka bertemu Sporting Lisbon dalam perlawanan penting Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu, diikuti dengan pertembungan Liga Perdana menentang Brighton & Hove Albion.