PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui kegagalan skuad Bawah 16 dan B-20 kebangsaan pada kempen Kelayakan Piala Asia tahun ini namun, Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram berkata, kegagalan kedua-dua skuad remaja itu tidak bermakna Peta Hala Tuju F:30 gagal sepenuhnya.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa Peta Hala Tuju F:30 yang mula dilancarkan pada 31 Oktober 2018 harus dilihat secara holistik.

“Berdasarkan graf Peta Hala Tuju F:30 ini, sebenarnya banyak pencapaian telah dicapai terutamanya pada Fasa 1. Contohnya, Liga Suparimau yang diperkenalkan mulai tahun 2021 telah mendapat pengiktirafan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila memenangi anugerah bagi kategori grassroots.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata Pelan Hala Tuju F:30 masih di landasan yang betul

“Bola sepak wanita pula mula menunjukkan petanda baik apabila pasukan Sabah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila layak beraksi buat kali pertama pada kejohanan Liga Juara-Juara Wanita AFC tahun ini.

“Malah, sukan futsal juga tidak ketinggalan menampakkan perkembangan positif apabila Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) Divisyen 2 julung kali dianjurkan mulai tahun ini,” katanya.

Begitupun, Sivasundaram mengakui Peta Hala Tuju F:30 Fasa 2 agak ‘terencat’ jika melihatkan kegagalan skuad B-16 dan B-20 pada Kelayakan Piala Asia tahun ini.

“Tetapi kita tidak boleh membuat penilaian hanya bersandarkan kepada prestasi kedua-dua pasukan remaja pada kempen Kelayakan Piala Asia. Apa yang boleh saya katakan, kita masih berada di landasan yang betul bersandarkan kepada beberapa pencapaian pada Fasa 1.

“Jadi untuk mengatakan Peta Hala Tuju F:30 gagal, itu tidak benar. Kita masih ada masa enam tahun lagi untuk melihat kejayaan pada penghujung tahun 2030,” ujarnya.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kegagalan skuad muda negara

Dalam pada itu, Sivasundaram telah mengarahkan Sekretariat FAM untuk mendapatkan laporan daripada pengurus dan jurulatih B-16, B-20 serta Pengarah Teknikal, Scott O’Donell bagi melihat keseluruhan prestasi kedua-dua pasukan pada kejohanan kelayakan tersebut.

“Kita akan melihat hasil laporan post-mortem yang akan dibentangkan oleh pengurus, jurulatih serta Pengarah Teknikal dan selepas itu, kita akan keluarkan apa solusi dan tindakan yang boleh dibuat pada masa akan datang,” jelasnya.

Pada masa sama, Sivasundram memberitahu, O’Donell tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kegagalan skuad B-16 dan B-20 sehingga mendapat kecaman peminat bola sepak tanah air.

“Kita tidak boleh menyalahkan Pengarah Teknikal kerana dia telah menjalankan tugasnya untuk memberikan input kepada barisan kejurulatihan skuad B-16 dan B-20.

“Malah, dia juga hadir pada Kelayakan Piala Asia itu untuk mendapatkan keputusan yang terbaik buat kedua-dua pasukan remaja kebangsaan. Jadi dia akan memberi pandangannya dalam laporan post-mortem pada Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Teknikal yang saya pengerusikan nanti.

“Saya berharap kita akan dapat membuat tindakan susulan seterusnya dan merancang lebih awal bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-17 2026 yang mana akan bermula tahun depan,” katanya.

FAM akan bersetuju dengan cadangan KBS untuk merujuk kajian prestasi kepada AFC 

Sivasundaram turut berkata bahawa FAM bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi melakukan kajian prestasi terhadap Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang hampir 10 tahun.

“Hasil daripada kajian dan dapatan yang dilakukan pihak AFC, selepas itu barulah kita akan melihat tentang pendekatan dan kesesuaian NFDP dan AMD sama ada perlu distruktur semula atau mengambil apa-apa tindakan yang bersesuaian. Jadi pihak FAM dan KBS menunggu hasil daripada kaian tersebut,” jelasnya.