KETIKA Sabah FC sedang dalam prestasi terbaik dengan memenangi tiga perlawanan berturut-turut dan menjaringkan 13 gol, muncul pula berita kurang enak dari Kota Kinabalu.

Menurut sumber yang dipercayai, masa depan pengendali, Datuk Ong Kim Swee bersama pasukan masih samar apabila kelab masih belum berbincang mengenai lanjutan kontraknya yang bakal berakhir pada 30 November ini.

Kim Swee yang membimbing Sabah sejak 2021 berjaya membawa The Rhinos ke tahap yang membanggakan dengan menduduki tiga tempat teratas liga secara konsisten selain layak ke peringkat separuh akhir Zon Asean, Piala AFC 2023.

Sabah FC kini berada pada prestasi terbaik namun pengendalinya masih belum ditawarkan lanjutan kontrak oleh pengurusan 

Perkara ini mula kedengaran di kalangan para penyokong yang mula bimbang kerana pasukan kesayangan mereka sedang berada pada tahap prestasi terbaik dan bakal mengharungi sebahagian lagi musim Liga Super termasuk Piala Malaysia.

Apa yang lebih membimbangkan mereka adalah status Kim Swee sebagai antara jurulatih berkaliber dalam negara yang mungkin akan dipancing oleh mana-mana pasukan yang mampu mendapatkan khidmat bekas pengendali skuad B-23 kebangsaan itu.

Dengan reputasi sedemikian, Kim Swee mungkin akan dipancing Selangor FC yang baru sahaja kehilangan jurulatih selepas Nidzam Jamil meletakkan jawatan selain Terengganu FC yang masih tidak ada ketua jurulatih selepas berpisah dengan Tomislav Steinbruckner.

Ketiadaan Nidzam Jamil membolehkan Selangor mungkin menjadi destinasi terbaharu Kim Swee selain Terengganu dan Pulau Pinang 

Pulau Pinang juga boleh menjadi destinasi seterusnya buat Kim Swee dengan Akmal Rizal juga turut dilepaskan selain juga beberapa pasukan yang dilihat berpotensi.

Kegagalan skuad muda kebangsaan di kejohanan B-20 dan B-17 juga memungkinkan Kim Swee kembali ke FAM untuk menerajui Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebagai Pengarah Program atau apa sahaja tugas berkaitan program kejurulatihan pemain muda.

Pengurusan Sabah perlu bertindak segera jika ingin mengekalkan khidmat Kim Swee dengan panggilan ke pertandingan Asia semakin terbuka dengan peningkatan prestasi mendadak kebelakangan ini.