JUARA bertahan MotoGP, Francesco Bagnaia melaungkan amaran awal untuk selepas mencatat masa terpantas dalam sesi latihan Grand Prix MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang Petronas pada Jumaat.
Bagnaia mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 57.679 saat untuk mendahului pencabar utama, Jorge Martin yang ketinggalan 0.050 saat di belakang manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.
Bagnaia yang ditemui media selepas sesi menjelaskan dia gembira dengan kelajuan jenteranya dan isu tayar tidak membataskan sesi latihan serta berharap pasukannya dapat mengatasi masalah itu sebelum sesi kelayakan esok.
“Kelajuan pada sesi latihan ini sangat bagus dan saya juga merasa bagus bersama jentera. Kami memulakan sesi dengan sedikit gusar akibat keadaan tayar yang kurang mencengkam terutama tayar belakang tetapi segalanya berjalan lancar untuk hari pertama di sini,” katanya.
Jorge Martin pula nyata tidak mempunyai masalah meskipun dia terjatuh di selekoh pertama pada penghujung sesi dan menganggap itu sebagai rujukan buatnya mengenai cengkaman tayar dan brek dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat panas.
“Saya gembira dengan catatan masa hari ini dan ada beberapa perkara perlu diperbaiki. Ianya lebih baik untuk jatuh hari ini kerana saya boleh tahu had litar dan jentera. Saya juga gembira dengan litar ini serta jentera dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan sesi ini,” jelasnya.
Kedua-dua pelumba ini hanya dipisahkan dengan 17 mata di mana Martin mendahului dan akan memastikan kemenangan menjadi milik mereka bagi mengukuhkan lagi kedudukan untuk semakin hampir bergelar juara dunia.
Ketidakpastian sama ada perlumbaan terakhir di Valencia akan berlangsung ekoran banjir teruk yang melanda wilayah itu, keputusan di Grand Prix Malaysia semestinya menjadi penentu kejuaraan sekiranya Grand Prix Valencia tidak dapat dilangsungkan dua minggu dari sekarang.