DUA jaringan daripada Heberty Fernandes membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 0-4 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Heberty meledak dua gol dari luar kotak penalti dalam masa lima minit di babak pertama sebelum Arif Aiman Hanapi menyumbang satu gol pada awal babak kedua dan penalti Jorge Obregon pada masa kecederaan untuk memastikan Harimau Selatan membawa pulang tiga mata penuh ke Iskandar Puteri.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio melakukan lima pertukaran dari kesebelasan utama yang menewaskan Selangor FC dengan Afiq Fazail kembali dalam barisan pemain utama selepas tersisih ekoran kecederaan.
JDT menguasai sebahagian besar permainan sejak dari awal perlawanan tetapi Negeri Sembilan kebal bertahan hingga sukar untuk bahagian serangan yang diketuai Bergson Da Silva untuk memecahkan benteng.
Heberty menggunakan kekuatan kaki kirinya untuk menyempurnakan sepakan percuma dan gol dari jarak 35 meter untuk gol kesembilannya musim ini untuk meletakkan JDT mendahului dua gol pada babak pertama.
Tidak sampai lima minit babak kedua bersambung, Arif Aiman meletakkan JDT bertambah selesa dengan gol ketiga hasil larian solonya yang juga gol kesembilannya musim ini buat Harimau Selatan.
4,717 orang penyokong yang hadir hampir dihadiahkan gol saguhati menerusi Takumi Sasaki namun rembatannya sipi melewati tiang gol ketika benteng pertahanan dan Syihan Hazmi sudahpun tertewas.
Ketika perlawanan hampir tamat, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain Negeri Sembilan menampan bola dengan tangan dan Jorge Obregon mudah menolak masuk untuk gol keempat.
Keputusan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT kini mengumpul 37 mata selepas 13 perlawanan dan jauh meninggalkan Selangor FC di tangga kedua dengan 11 mata sebelum liga berhenti rehat untuk perlawanan antarabangsa.